Piala Vivian May Soars : Malaysian University Dan Liaoning Women Buru Gelaran Juara

Piala Vivian May Soars : Malaysian University Dan Liaoning Women Buru Gelaran Juara

Juara Piala Vivian May Soars bakal diketahui malam esok dengan perhitungan melibatkan Malaysian University dan Liaoning Women’s HT di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil esok.

Menariknya, ini merupakan penampilan buat kali kelima berturut-turut buat Malaysian University di pentas final.

Ketua jurulatih Malaysian University, Lailin Abu Hassan mengakui pasukannya membawa misi kejuaraan treble musim ini namun tetap menghormati kekuatan Liaoning Women’s HT.

Jelasnya, hampir 80 peratus pemain dalam pasukannya adalah pemain-pemain yang beraksi bersama pasukan musim lalu.
“Alhamdulillah apa yang kita sasarkan tiga, dua sudah capai dan esok merupakan perlawanan yang sukar tetapi kita akan cuba mendapatkan kejuaraan treble.

“Liaoning pasukan yang kuat dan ada kemahiran cukup baik, jadi pemain kena fokus dan elak melakukan kesilapan mudah. Ini merupakan kali kelima berturut-turut kita bermain di final.

“Pengalaman…majoriti 70 hingga 80 peratus pemain sama dalam pasukan sebelum ini, jadi mereka sudah faham dan cuba hasrat dapat balik apa yang kita terlepas tahun lalu,” katanya Sidang Media menjelang Final Piala Vivian May Soars di sini hari ini.

Edisi 2023 menyaksikan Piala Vivian May Soars menjadi milik Negeri Sembilan yang berjaya menewaskan Malaysian University menerusi penentuan shoutout 3-2.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Liaoning Women’s HT, Ren Ye mengakui pemain-pemainnya sudah bersedia dan menyifatkan Malaysian University pasukan pilihan.

“Malaysian University adalah pasukan yang kuat dan kami akan cuba memberi yang terbaik untuk perlawanan esok.

“Kami sudah bersedia dan akan memberi fokus sepenuhnya untuk perlawanan ini,” kata Ren Ye.

Dalam pada itu, PDRM Blue Warriors dan Negeri Sembilan akan berentap untuk kedudukan 3 dan 4 di padang 2 Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada pukul 4 petang.