TNB MJHL 2024 : Empat Pasukan Isi Slot Separuh Akhir Piala TNB

In MAIN

Juara bertahan, SSTMI Thunderbolts, Juara Divisyen 1, PHJ-MSNJ, Anderson Thunderbolts dan SSBJ Thunderbolts melengkapkan slot empat pasukan terbaik yang bakal bersaing di aksi separuh akhir Piala TNB, TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2024 selepas menewaskan lawan masing-masing pada aksi suku akhir yang berlangsung hari ini.

SSBJ Thunderbolts yang kecewa pada saingan liga ekoran kegagalan menempatkan pasukan mereka dalam kelompok tiga pasukan terbaik berjaya menebus kekecewaan tersebut apabila mara ke pentas separuh akhir menewaskan AHP-MSP Thunderbolts 4-2 pada aksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Empat gol pukulan sudut penalti yang berjaya diterjemahkan SSBJ Thunderbolts kepada jaringan menidakkan impian AHP-MSP Thunderbolts walaupun pasukan daripada Pahang itu berjaya menjaringkan satu gol gerakan padang dan satu gol pukulan sudut penalti.

Gol Muhammad Hafiezuddin  Mohd Ali (m’11 dan m’41) serta Shafy Shahymm Huzzeini Shahrul Azran Huzeini (m’13 dan m’15) nyata mengembirakan pengendali mereka Lokman Yahaya yang menyifatkan fokus pasukannya kini adalah untuk memastikan satu piala perlu dibawa pulang bagi musim 2024.

“Alhamdulillah atas kemenangan menentang AHP-MSP Thunderbolts dan tahniah buat pemain yang bermain dengan baik serta mengikut setiap perancangan pasukan. Sebelum turun pada aksi suku akhir, banyak kerja rumah yang telah dilakukan untuk menewaskan mereka dan ianya berhasil.

“Beraksi di separuh akhir menentang PHJ-MSNJ pastinya satu perlawanan yang sengit dan harapan saya untuk separuh akhir nanti, kami akan mendapat kembali kidmat pemain kami, Naaveennash Panicker yang kini bersama pasukan kebangsaan.

“Pastinya kehadiran Naaveennash akan membantu mempertajamkan lagi jentera serangan pasukan dan kini kami memiliki ramuan tersendiri bagaimana untuk bermain menentang PHJ-MSNJ. Kami sepasukan berharap, perancangan yang telah diatur akan berhasil pada aksi separuh akhir nanti,” jelasnya selepas tamat perlawanan.

Dalam pada itu, PHJ-MSNJ yang masih segar dengan gelaran Juara Divisyen 1 bagi musim 2024 tidak memberikan peluang kepada lawan mereka MSNS/PHS/SSMS (Sabah) apabila membenam cabaran lawan 11-1.

Sembilan daripada 11 gol yang terhasil merupakan gol padang di mana Muhammad Hazrey Hafiy Azhari (m’24, m’42, m’53) muncul penjaring hatrik dan Abdul Hamzah Yahkip (m’9, m’59) serta Mohamad Khairil Hakimi Zainol (m’17, m’29) menjaringkan dua gol sementara dua lagi gol masing-masing menerusi Gagandeep Singh Aphthar Singh (m’20) juga Ahmad Syahmi Jazlan Jafri (m’39).

Dua lagi gol adalah hasil penyudahan pukulan sudut penalti di mana kedua-duanya dijaringkan oleh Andywalfian Jeffrynus pada minit ke-34 dan ke-41.

Sementara itu, empat gol pukulan sudut penalti yang diterjemahkan kepada jaringan oleh Muhammad Nabil Irfan Mohd Yusof (m’9), Darwisy Hamdan (m’26), Muhammad Haziq Zunnurrain Mohd Azhary (m’35) dan Mohamad Syazwan Mohd Shamsul (m’46) membawa SSTMI Thunderbolts ke separuh akhir.

Kemenangan 4-0 ke atas Akademi Hoki MBPJ itu juga membuka laluan buat SSTMI Thunderbolts menebus kekecewaan gagal mempertahankan kejuaraan liga Divisyen 1 selepas menamatkan saingan liga dikedudukan ketiga dan sekaligus mereka berada dilandasan terbaik untuk mempertahankan Piala TNB yang dimenangi musim lalu.

SSTMI Thunderbolts dalam pada itu akan menentang Anderson Thunderbolts di aksi separuh akhir selepas Anderson Thunderbolts yang turun bertemu Malacca High School HT menundukkan Juara Liga Divisyen 2 itu dengan keputusan 6-1.

Keputusan hari ini:

PHJ-MSNJ 11-1 MSNS/PHS/SSMS (SABAH)

AHP-MSP THUNDERBOLTS 2-4 SSBJ THUNDERBOLTS

SSTMI THUNDERBOLTS 4-0 AKADEMI HOKI MBPJ

ANDERSON THUNDERBOLTS 6-1 MALACCA HIGH SCHOOL HT

Recent Posts

Leave a Comment