SUKMA Sarawak (Pingat Emas) : Perak (Lelaki) , Pahang (Wanita) Bolot Emas

Perak (Lelaki) Tamatkan Kemarau 10 Tahun, Pahang (Wanita) Pertahankan Untuk Dua Edisi Berturut-Turut Pentas final Temasya SUKMA XXI, Sarawak 2024, yang berlangsung di Stadium Hoki Negeri Sarawak, Padungan, melabuhkan tirai dengan Kategori Lelaki menyaksikan Perak berjaya menamatkan kemarau penantian 10 tahun untuk merangkul pingat emas sementara Kategori Wanita pula memperlihatkan Pahang mengekalkan kilauan emas untuk dua edisi berturut-turut. Menariknya aksi final hari ini, kedua-dua kategori berkesudahan dengan penentuan shoot-out selepas perlawanan 60 minit yang berlangsung tamat dengan keputusan seri 3-3 dan kemenangan Perak 3-2 ke atas Pahang serta tertewasnya Wilayah Persekutuan 3-5 kepada Pahang menjulang Perak dan Pahang selaku Juara. Pengendali Perak, Mohd Nizam Mohd Hashim, menyifatkan semangat kerjasama sepasukan serta keinginan yang terlalu tinggi untuk bergelar juara di dalam diri setiap pemain menjadi motivasi terkuat untuk mereka berjuang merebut pingat tersebut. “Pertama sekali Syukur Alhamdulillah atas kejayaan ini dan pada aksi final, pemain berjaya mengikut setiap perancangan pasukan dengan sebaiknya selain setiap daripada pemain juga mahu mengembalikan kegemilangan hoki di Perak dengan membawa pulang pingat emas. “Pemain turut sedar hanya dengan kejayaan membawa pulang pingat emas akan membantu membuka jalan lebih baik bagi pembangunan hoki Negeri Perak dan segala usaha keras setiap daripada pemain serta barisan kejurulatihan membuahkan hasil hari ini. “Perjalanan Sukma bagi Pasukan Perak untuk edisi 2024 ini penuh berliku. Semua pemain hanya dapat dikumpulkan di minggu terakhir sebelum kami ke Sarawak. Namun berbekalkan beberapa perlawanan persahabatan, keserasian sebagai satu pasukan berjaya dibentuk. “Alhamdulillah prestasi pasukan konsisten daripada awal perlawanan hingga suku akhir dan walaupun pemain agak gugup pada separuh akhir, mereka bangkit menamatkan kemarau 10 tahun pada aksi final dengan kejayaan memenangi pingat emas. “Semangat bermain demi Perak juga sangat kuat di hati pemain dan ini cara mereka menunjukkannya,” jelas beliau.   Sementara itu, Ketua Jurulatih Pahang, Mohamad Sabri Mohamad menjelaskan semangat untuk mencipta sejarah tersendiri bagi pasukan Wanita Pahang iaitu menjadi Pasukan Wanita Pahang yang pertama memenangi pingat emas bagi dua edisi berturut-turut antara motivasi yang membantu kejayaan pasukannya. “Syukur Alhamdulillah kami berjaya mempertahankan pingat emas untuk dua edisi berturut-turut. Aksi final hari ini pasukan sedikit bergelut untuk menterjemahkan perancangan dengan baik pada suku pertama dan kedua. “Tetapi selepas rehat separuh masa, pemain dapat bangkit dan memberikan tentangan pada setiap asakan Wilayah Persekutuan selain latihan pukulan sudut penalti yang kami lakukan juga membuahkan hasil pada aksi final, hari ini. “Kejayaan kami hari ini juga adalah hasil program yang disokong oleh Majlis Sukan Pahang sejak 2023 hingga tamatnya Sukma hari ini. “Kerja keras sepasukan antaranya dengan penyertaan Liga Hoki Malaysia, Liga Hoki Remaja Malaysia dan sesi latihan di luar negara, menjadi salah satu kelebihan buat kami untuk bersedia sepenuhnya bagi Sukma 2024 dan inilah hasilnya kami membawa pulang pingat emas sekali lagi,” ujar beliau.