Young Tigress Benam Thailand Pada Aksi Pembukaan Piala Remaja Asia

Young Tigress membuka kempen Piala Remaja Wanita Asia 2024 dengan kemenangan ke atas Thailand 3-0 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Hoki Al Amarat, Muscat, Oman, semalam.

 

Skuad muda negara itu membuka jaringan menerusi Nurshamine Azureen Mohammed Badusha seawal minit ke-9 hasil pukulan sudut penalti.

 

Dua lagi jaringan turut dimiliki Malaysia menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Nur Syahirah Azwan (minit ke-31) dan Nor Zulaikha Nazihah Tamjit (minit ke-64).

 

Apa yang lebih manis lagi kejayaan diukir Young Tigress turut diiringi pencapaian cemerlang pemain pertahanan, Nur Syahirah yang dinobatkan sebagai penerima anugerah Pemain Terbaik Perlawanan.

 

Ketua jurulatih Young Tigress, Lailin Abu Hassan berkata, meskipun para pemainnya berjaya mencatat kemenangan ke atas pasukan negara tetangga itu, tetapi, masih belum mampu menambat hatinya dengan prestasi yang dipamerkan.

 

“Saya masih belum berpuas hati dengan persembahan keseluruhan para pemain menentang Thailand.

 

“Kita sebenarnya memiliki begitu banyak peluang melalui pukulan sudut penalti dan para pemain gagal memanfaatkan kesempatan tersebut.

 

“Saya mahu mereka memberi lebih tumpuan kepada permainan masing-masing sewaktu berdepan India, Isnin ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas perlawanan berakhir.

 

Bekas pemain kebangsaan itu memberitahu, Ahad yang merupakan hari rehat skuad bimbingannya dan kesempatan tersebut akan digunakan untuk menonton video analisis perlawanan membabitkan pasukan India.

 

“Kita akan cuba susun perancangan melalui analisis itu nanti, India merupakan sebuah pasukan yang kuat dan kita perlu memberikan aksi terbaik bagi menyekat lawan daripada mencatat kemenangan,” ujar beliau.

 

Seperti mana dalam saingan skuad remaja lelaki, Piala Asia Remaja Wanita merupakan kejohanan yang menawarkan tempat ke Piala Dunia Remaja FIH 2025 yang bakal dilangsung di Chile.

 

Selain berdepan India, skuad negara turut akan menghitung pertemuan dengan Bangladesh pada Rabu dan China, Khamis ini.

 

Dua pasukan terbaik dalam setiap kumpulan akan terus layak ke separuh akhir dengan saingan Kumpulan B disertai Korea Selatan, Jepun, Taiwan, Hong Kong dan Sri Lanka.