Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini mengumumkan barisan 20 pemain yang akan menggalas cabaran negara menghadapi saingan FIH Hoki Piala Dunia 2026 di Wavre, Belgium dari 15 hingga 30 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak percaya barisan pemain terpilih sudah bersedia untuk menggalas cabaran negara dengan memberikan persembahan terbaik di sana nanti.
Biarpun diundi dengan tiga gergasi Eropah dalam Kumpulan B bersama dua juara dunia, Belgium dan Jerman serta juara Piala Negara-Negara 2025-26, Perancis, namun Dato’ Najmi percaya tiada yang mustahil buat Speedy Tigers.
“Kumpulan kita ini semua naga-naga. Walaupun begitu, kalau kita lihat, tiada yang mustahil. Piala Dunia bola sepak baru-baru ini pun kita nampak keputusan-keputusan mengejut, jadi apa-apa sahaja boleh berlaku.
“Pesanan saya kepada pemain, terus bekerja keras, ikut segala arahan jurulatih. Pada Piala Dunia 2023, kita hampir mara ke suku akhir dan hanya tewas menerusi penentuan shoot-out. Jadi kita sebenarnya mampu.
“Cuma pemain perlu ada keyakinan dan keinginan yang tinggi. Jangan takut. Bermain cara kita dan kita tetap ada peluang. Harapan saya mereka dapat ke suku akhir,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Speedy Tigers, Brendon Carolan enggan melihat saingan Kumpulan B sebagai ‘kumpulan maut’, sebaliknya menganggapnya seperti peluang keemasan untuk mengukur kemampuan pasukannya menjelang temasya lebih penting.
Suka atau tidak, Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun dari 19 September hingga 4 Oktober nanti adalah kejohanan paling utama buat Speedy Tigers yang perlu menjuarainya untuk merebut tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
“Saya tidak akan kata ini kumpulan maut, tetapi kumpulan peluang. Semuanya bergantung kepada bagaimana kita melihat situasi itu kerana sasaran utama adalah Sukan Asia.
“Jika mahu layak ke Sukan Olimpik, kita perlu menewaskan pasukan-pasukan lapan terbaik dunia. Itu adalah hakikat. Jadi kami mengambil undian ini secara positif kerana Sukan Asia akan berlangsung pada September,” jelasnya.











