Kapten Pasukan Hoki Senior Lelaki Kebangsaan, Muhammad Marhan Mohd Jalil dan dua lagi tonggak berpengalaman, Faiz Helmi Jali serta Faizal Saari bakal mengukir sejarah tersendiri di pentas Piala Dunia.
Marhan, Faiz dan Faizal akan membuat penampilan keempat Piala Dunia di Wavre, Belgium pada perlawanan pertama Kumpulan B menentang juara dunia, Jerman, 15 Ogos ini.
Bagi Marhan yang memiliki kaps antarabangsa terbanyak di Malaysia iaitu 356 penampilan, menyifatkan ia bukan sekadar satu kebanggaan peribadi, malah menjadi platform untuk terus membimbing generasi muda.
“Satu penghormatan terhadap segala pengorbanan dan kerja keras saya dari awal hingga sekarang. Pada masa sama, saya dapat membantu pasukan menjadi lebih baik pada masa akan datang.
“Dapat bermain bersama mereka (Faizal dan Faiz Helmi) adalah satu kegembiraan. Kami berkongsi matlamat yang sama sejak muda dan perjalanan itu diteruskan sehingga sekarang.
“Saya harap dapat membantu pasukan, terutama pemain-pemain muda. Mereka boleh melihat contoh seperti Faizal dan Faiz Helmi. Walaupun berbadan kecil, mereka mempunyai hati dan semangat yang besar. Itulah yang kita mahukan daripada pemain-pemain akan datang,” katanya.
Marhan, Faizal dan Faiz Helmi telah bermain dalam tiga Piala Dunia sebelum ini bermula edisi The Hague 2014, Bhubaneswar 2018 dan Bhubaneswar-Rourkela 2023.
Mengulas cabaran di Piala Dunia yang berlangsung dari 15 hingga 30 Ogos, Marhan mengakui Malaysia berdepan laluan sukar dalam Kumpulan B bersama Belgium, Jerman dan Perancis.
Bagaimanapun, beliau percaya disiplin serta kerja keras mampu menjadi senjata skuad negara untuk mencipta kejutan.
“Apabila berada dalam kumpulan yang sukar, terutama bersama Belgium dan Jerman, kami perlu bekerja lebih keras dan lebih berdisiplin.
“Di Piala Dunia tiada perlawanan yang mudah. Kami perlu bergerak sebagai satu pasukan, kekal berdisiplin dan cuba mencipta kejutan,” jelasnya.









