Pengalaman India jadi pemisah buat Malaysian Tigresses

Ketua Jurulatih Skuad Senior Wanita Kebangsaan, C.R. Kumar percaya anak-anak buahnya telah memberikan persembahan terbaik meskipun tewas 1-4 kepada India dalam aksi pertama Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 di Bhopal hari ini.

The Malaysian Tigresses berjaya menghadirkan tentangan sengit apabila mengikat tuan rumah yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Asia 2026 dengan keputusan 1-1 dalam 30 minit pertama permainan.

Bagaimanapun, India yang berada di ranking ke-7 dunia ternyata lebih berpengalaman berbanding Malaysia di tangga ke-21 dunia, dan berjaya menambah tiga lagi gol dalam suku ketiga dan keempat.

“Kami memberikan beberapa pukulan sudut penalti (PC) berturut-turut dan melakukan banyak kesilapan sendiri selain kesilapan yang dipaksa pihak lawan. Tahap kecergasan pemain kami juga belum dapat menandingi India.

“Namun, pemain-pemain sudah memberikan yang terbaik dan saya berharap mereka dapat mempamerkan prestasi lebih baik dalam perlawanan seterusnya,” kata Kumar.

Penyerang negara, Nuramirah Syakirah Zulkifli terlebih dahulu meledak jaringan padang pada minit ke-19 yang secara tidak langsung telah mengejutkan barisan pemain India.

India bangkit menyamakan kedudukan dengan gol padang Mumtaz Khan pada minit ke-20 sebelum menambah tiga lagi jaringan menerusi PC daripada Salima Tete (m-35), Sahoo Puja (m-39) dan Lalremsiami (m-49).

Meskipun tewas, aksi kali ini memperlihatkan peningkatan berbanding empat pertemuan terdahulu dengan India yang menyaksikan The Malaysian Tigresses gagal menjaringkan gol.

“Sebagai jurulatih, saya amat berpuas hati dengan prestasi semasa mereka. Cuma, pemain perlu memahami aspek teknikal dan taktikal yang telah kita bincangkan.

“Apabila mereka benar-benar memahami kepentingan perkara tersebut, saya percaya mereka mampu menunjukkan prestasi lebih baik dalam baki perlawanan,” tambah Kumar.

Selepas ini, Skuad Senior Wanita Kebangsaan akan menghadapi satu lagi lawan sukar iaitu naib juara Sukan Olimpik Paris 2024, China dalam perlawanan kedua ACT 2026 pada 21 November ini.