Speedy Tigers langkah kanan, benam Korea aksi pertama PSAS 2026

Speedy Tigers langkah kanan, benam Korea aksi pertama PSAS 2026

SKUAD Senior Lelaki Kebangsaan membuka kempen Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2026 dengan langkah kanan menerusi kemenangan 3-0 ke atas Korea Selatan hari ini.

Kesabaran barisan pemain harus diberikan pujian meskipun sukar untuk menembusi benteng pasukan ranking ke-20 dunia itu dalam tempoh 30 minit pertama aksi di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak itu.

Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Brendon Carolan percaya anak-anak buahnya sepatutnya boleh menang dengan keputusan yang lebih besar jika memanfaatkan peluang-peluang yang ada.

“Kami ada beberapa peluang penting untuk mendahului dengan kelebihan dua gol, tetapi gagal menyempurnakannya. Kami juga gagal manfaatkan pukulan sudut penalti (PC) pertama sebelum Korea memperoleh empat atau lima PC berturut-turut.

” Namun, saya berpendapat pertahanan PC kami berada pada tahap yang baik. Cuma, kami gagal mengambil peluang ketika menguasai permainan yang mana saya fikir kita perlu terjemahkannya kepada jaringan.

“Layangan kad kuning sedikit mengubah momentum perlawanan tetapi saya gembira kerana pemain terus beri tekanan dan berjaya menjaringkan gol ketika Korea kekurangan seorang pemain,” katanya.

Korea Selatan yang menurunkan barisan muda, menunjukkan disiplin yang tinggi apabila tidak mudah membenarkan Speedy Tigers melakukan percubaan dalam suku pertama dan kedua perlawanan.

Bagaimanapun, ia tidak bertahan lama apabila serangan balas pantas yang membolehkan Azrai Aizad Abu Kamal meledak gol pertama buat Malaysia pada minit ke-36.

Gol kedua Speedy Tigers hadir tidak lama kemudian menerusi Azimuddin Syakir Kamaruddin pada minit ke-38, sekali gus memberikan kelebihan selesa buat Malaysia yang berada di ranking ke-14 dunia.

Faizal Saari memastikan kemenangan selesa buat Skuad Senior Lelaki Kebangsaan dengan gol ketiga apabila dia menyudahkan penalti stroke pada minit ke-57.

Satu lagi detik membanggakan adalah kejayaan Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien membuat debut bersama Skuad Senior Lelaki Kebangsaan di peringkat antarabangsa selepas baru sahaja membantu Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan menjuarai Piala Sultan Johor 2026.

Esok, Speedy Tigers akan meneruskan perlawanan kedua PSAS 2026 menentang Kanada yang tewas 1-5 kepada Pakistan dalam aksi pertama hari ini.