Skuad Senior Wanita Kebangsaan menunjukkan reaksi balas yang cukup positif apabila berjaya mengikat gergasi hoki dunia, China 2-2 dalam aksi kedua Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 di Bhopal, India hari ini.
Keputusan itu cukup membanggakan buat The Malaysian Tigresses memandangkan China adalah pasukan berstatus naib juara Sukan Olimpik Paris 2024 dan juga antara pilihan utama menjuarai kejohanan berkenaan.
Ia pastinya menyuntik semangat barisan pemain untuk memburu kemenangan pertama dalam aksi seterusnya nanti selepas terdahulu membuka tirai kejohanan dengan kekalahan 1-4 kepada India.
Ketua Jurulatih Skuad Senior Wanita Kebangsaan, C.R. Kumar amat berbangga dengan kejayaan itu kerana selain berjaya mengutip satu mata berharga tetapi ia turut membuktikan potensi besar yang dimiliki barisan pemainnya.
“Ia penting supaya keputusan tersebut dapat menjadi pemangkin kepada aksi lebih baik dalam perlawanan seterusnya, selain meningkatkan motivasi pemain untuk terus memberikan persembahan lebih cemerlang.
“Tiada siapa masih ingat bila kali terakhir Malaysia seri dengan China. Jujurnya saya sendiri pun tidak pasti. Berdasarkan pengalaman saya sejak tahun 2000, perkara ini tidak pernah berlaku, mungkin ia pernah terjadi sebelum tahun 2000.
“Namun, satu mata yang diraih ini tetap cukup berharga buat kami dan pastinya akan menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk menghadapi perlawanan-perlawanan seterusnya dengan lebih baik,” katanya.
Dalam aksi itu, Skuad Senior Wanita Kebangsaan di ranking ke-21 dunia, terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi penalty stroke yang disudahkan oleh Siti Nur Irdina Mohd Nor pada minit ke-31.
Ia tidak bertahan lama apabila China yang berada di tangga keempat dunia membalas dengan dua gol dalam enam minit hasil pukulan sudut penalti daripada Wei Qixiao dan Feng Jiaxin masing-masing pada minit ke-35 dan 41.
Bagaimanapun, The Malaysian Tigresses membuktikan kualiti dan potensi besar dengan gol penyamaan daripada Azmyra Mia Sofea Azhari pada minit ke-45.
Sebagai rekod, kali terakhir Skuad Senior Wanita Kebangsaan mencatat seri ke atas China sewaktu Sukan Asia 2018 dengan keputusan 2-2, namun lima pertemuan selepas itu berakhir dengan kekalahan.









