Skuad Senior Lelaki Kebangsaan meraih banyak aspek positif daripada kekalahan 2-4 kepada Australia dalam aksi keempat Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2026 malam tadi.
Meskipun ia adalah kekalahan pertama Speedy Tigers dalam edisi ke-32 kali ini, namun barisan pemain negara tidak menunjukkan sikap mudah menyerah kalah dalam aksi di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak itu.
Dua gol yang berjaya dijaringkan ke atas lawan di ranking ketiga dunia itu secara tidak langsung telah menamatkan kemarau jaringan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan dalam empat pertemuan terakhir menentang Australia.
Situasi itu sebenarnya memberikan bekalan keyakinan buat barisan pemain yang perlu menewaskan Pakistan dalam aksi terakhir liga sepusingan Khamis ini untuk mengesahkan tiket ke pentas final.
Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Brendon Carolan menyifatkan anak-anak buahnya telah memberikan prestasi yang baik apatah selepas ketinggalan dua gol kepada salah satu gergasi hoki dunia itu.
“Apabila ketinggalan dua gol awal, ia sememangnya menyukarkan keadaan kerana kami perlu mengejar permainan. Namun, saya fikir ia satu perlawanan yang baik.
“Saya fikir kita berjaya bangkit dengan baik. Mungkin kita boleh memberikan sedikit tekanan tambahan kepada mereka, tetapi saya rasa kejohanan ini masih panjang dan ada beberapa perlawanan penting yang menanti selepas ini.
“Dari segi prestasi, saya fikir persembahan kali ini jelas lebih baik berbanding perlawanan terakhir kita,” katanya.
Australia meraih dua gol awal menerusi jaringan padang Lachlan Sharp dan pukulan sudut penalti Cambell Geddes pada minit ke-10 serta 11.
Faizal Saari membuktikan ketajamannya sebagai pakar flik apabila menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-19 untuk mengumpul jaringan peribadi kelapannya dalam kejohanan ini.
Australia kembali melebarkan jurang dengan gol ketiga melalui Craig Marais dua minit sebelum tamat babak pertama sebelum Muhajir Abdu Rauf merapatkan jurang 3-2 pada minit ke-57.
Usaha Skuad Senior Lelaki Kebangsaan mencari gol penyamaan untuk mengutip satu mata tidak menjadi kenyataan apabila Australia meledak gol keempat daripada Cooper Burns sekali gus menang dengan keputusan 4-2.









