BARISAN pemain Skuad Senior Wanita Kebangsaan wajar dipuji selepas mempamerkan prestasi melawan walaupun tewas 1-3 kepada Jepun dalam aksi keempat Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 di Bhopal, India hari ini.
The Malaysian Tigresses menampilkan persembahan lebih berkualiti berbanding kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu yang menyaksikan Jepun menang 4-0 sewaktu aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 di Santiago, Chile pada Mac lalu.
Ia terbukti apabila para pemain berjaya mengekang Jepun sepanjang 30 minit pertama sehinggalah pasukan di ranking ke-11 dunia itu membuka tirai jaringan menerusi gol padang Niko Maruyama.
The Malaysian Tigresses yang masih segar dengan kejayaan mengikat China 2-2 dan menewaskan Korea Selatan 3-1 sebelum ini, tidak mudah menyerah kalah apabila bangkit menyamakan kedudukan.
Gol penyamaan Skuad Senior Wanita Kebangsaan yang menghuni ranking ke-19 dunia itu diperoleh menerusi pukulan sudut penalti daripada Azmyra Mia Sofea Azhairy pada minit ke-51.
Tersentak dengan situasi itu, Jepun membuktikan status sebagai pemenang pingat gangsa Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan dua gol pantas dalam tempoh enam minit menerusi Kokona Tanaka dan Ai Hiramitsu pada minit ke-52 serta 58.
Ketua Jurulatih Skuad Senior Wanita Kebangsaan, C.R. Kumar menyifatkan kekurangan pemain disebabkan layangan kad kuning dan kad hijau menyukarkan mereka untuk memberi tentangan kepada Jepun.
“Kami bermula dengan baik sehingga tamat separuh masa pertama. Segalanya berjalan dengan baik. Namun, selepas itu kami dibolosi sebelum berjaya menyamakan kedudukan.
“Selepas kedudukan seri, perlawanan menjadi semakin sengit dan kami masih mempunyai peluang untuk menang, malangnya layangan kad kuning dan kad hijau menyebabkan kami berada dalam tekanan yang cukup besar.
Beraksi dengan hanya sembilan pemain di peringkat antarabangsa bukanlah sesuatu yang mudah. Jepun mengambil kesempatan daripada situasi itu untuk menambah jaringan dan melebarkan kedudukan,” jelasnya.
Biarpun tewas tetapi peluang Skuad Senior Wanita Kebangsaan mara ke separuh akhir masih terbuka apabila kini menduduki kedudukan keempat dengan empat mata, satu mata mengatasi Korea Selatan di tempat kelima.
Barisan pemain negara perlu memastikan kemenangan ke atas Thailand dalam aksi terakhir peringkat liga sepusingan esok untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir pada Jumaat ini.
“Kami wajib menang bagi memastikan peluang ke separuh akhir terus terbuka. Saya berharap pemain dapat mempamerkan aksi lebih baik dalam perlawanan seterusnya.
“Inilah realiti saingan di peringkat antarabangsa. Pemain perlu tahu bagaimana untuk bangkit daripada kekalahan dan berikan persembahan lebih baik dalam perlawanan berikutnya,” jelasnya.









