TNBLHM 2019: Tujuh Pasukan Mewarnai Liga Musim 2019

TNB Liga Hoki Malaysia 2019 akan menemui peminat sukan hoki tanah air dengan bermulanya perlawanan Sumbangsih pada 11 Januari 2019 dan dikuti aksi liga yang mengekalkan format perlawanan seperti 2018 di mana kesemua pasukan akan bermain di tempat sendiri serta tempat lawan selain akan menampilkan tujuh pasukan iaitu Terengganu Hockey Team (THT), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, Maybank, Universiti Teknologi Mara (UITM) dan Nurinsafi.

Perlawanan sumbangsih 2019 akan menemukan juara liga TNB 2018, THT dan juara Piala TNB 2018, UniKL di mana perlawanan dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki batu Buruk, Kuala Terengganu dan selepas Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) memutuskan tidak menghantar pasukan bagi tahun 2019, pastinya perlawanan Sumbangsih akan menampilkan juara baru.

Bagi Pengurus Pasukan THT, Mohamad Saberi Salleh, persediaan bagi musim 2019 telah bermula dan mereka akan mengekalkan beberapa pemain lama seperti Faizal Saari, Mohd Fitri Saari, Muhammad Hafizuddin Othman dan akan turut menampilkan beberpa pemain kebangsaan untuk menguatkan pasukan mereka pada musim baru.

“THT akan mengekalkan sebahagian pemain yang bersama kami pada musim 2018 seperti Faizal, Fitri, Hafizuddin dan kami akan mendapatkan juga khidmat beberapa pemain kebangsaan yang lain selain akan menyerap masuk pemain muda yang bersama pasukan Terengganu ketika Piala Tun Abdul Razak baru-baru ini serta akan membawa pemain daripada skuad SUKMA 2018.

“THT juga akan menggunakan khidmat pemain import yang pernah bersama pasukan dan membawa masuk pemain import baru daripada Asia.

“Kami juga mensasarkan untuk cuba mendapatkan kejuaraan berganda pada tahun ini seperti mana kami pernah lakukan pada 2014 hingga 2016,” jelas Saberi.

Sementara itu bagi pembantu pengurus pasukan UniKL, Saiful Azhar Mohd Afandi mereka mensasarkan untuk cuba mempertahakan kejuaraan Piala TNB yang diraih pada musim 2018 selain mahu menamatkan saingan liga di kedudukan yang terbaik dan menganggap dengan adanya stadium hoki mereka sendiri iaitu Stadium Hoki Tengku Abdullah di Bangi ianya merupakan satu suntikan semangat untuk pasukan mereka menampilkan aksi yang lebih baik bagi musim 2019.

“Sudah tentu UniKL akan cuba untuk mempertahankan kejuaraan Piala TNB yang kami menangi musim lalu dan kami juga mensasarkan untuk menamatkan liga di kedudukan yang lebih baik dan UniKL akan cuba untuk mendapatkan khidmat pemain import daripada Eropah serta Australia selain mengekalkan coach Arul Selvaraj sebagai jurulatih kami.

“Dengan adanya stadium yang baru sudah tentu ia menaikkan lagi semangat pemain dan keseluruhan pasukan UniKL untuk cuba mendapatkan seberapa banyak piala bagi musim 2019,” jelas Saiful.

Dalam perkembangan yang sama, perebutan Piala Tan Sri P. Alagendra 2018 akan bermula daripada 3 hingga 6 januari 2018 dan dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dimana selepas undian dilakukan, TNB mendapat kelebihan untuk terus melangkah ke pusingan separuh akhir sementara pusingan kalah mati akan menyaksikan pertembungan di antara Maybank dan UITM, UniKL akan menetang TNB Thunderbolts dan Nurinsafi akan bertemu THT.

Recent Posts

Leave a Comment