Malaysian Tigers Jumpa Great Britain

Skuad hoki lelaki kebangsaan akan berdepan Great Britain bagi Perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 susulan majlis undian yang berlangsung di ibu pejabat Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Lausanne, Switzerland pada Isnin.

Majlis undian berkenaan turut disaksikan secara langsung oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dato’ Sri Subahan Kamal serta Timbalan Presiden KHM, Prof. Dato Dr Shamala Subramaniam di ibu pejabat KHM bersama Jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Roelant Oltmans.

Dua perlawanan kelayakan ini dijadualkan berlangsung pada 2 dan 3 November depan dengan Lee Valley Hockey & Tennis Centre, London menjadi tuan rumah kepada aksi berkenaan.

“Ini undian paling sukar buat kami tetapi ia hakikat yang perlu kami terima. Ini bukan satu masalah, kami tahu apa yang perlu dilakukan dan percaya dengan peluang yang kami ada. Saya percaya setiap pasukan ada kelemahan dan itu yang perlu kami manfaatkan berdepan Great Britain,” jelas Roelant.

Skuad hoki lelaki kebangsaan bakal menjadikan Korea Selatan sebagai destinasi terakhir untuk melakukan persiapan di mana mereka akan ke sana pada 19 September dan kembali ke Malaysia pada 29 September 2019.

Seramai 20 pemain dipilih untuk mengikuti aksi ujian yang telah dirangka itu di mana Malaysia akan menjalani empat perlawanan ujian bertemu pasukan kebangsaan Korea Selatan. Empat perlawanan ujian itu akan turut dijadikan sebagai kayu pengukur oleh Oltmans bagi meneliti siapakah pemain yang mungkin akan berada di dalam senarai utama 18 pemain bagi menghadapi misi penting iaitu Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Recent Posts

Leave a Comment