Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Negara Buka Kempen Dengan Kemenangan

Turun selaku juara bertahan, Pasukan Hoki Dalam Dewan Lelaki Negara membuka kempen Temasya Sukan SEA 2023, Phnom Penh, Kemboja bagi acara Hoki Dalam Dewan yang berlangsung di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar dengan kemenangan selepas menewaskan tuan rumah, Kemboja 10-1.

Faridzul Afiq Mohd yang membuka tirai jaringan seawal minit pertama perlawanan menerusi gol pukulan sudut penalti, muncul selaku penjaring hatrik pada aksi pembukaan selepas menjaringkan dua lagi gol hasil gerakan padang pada minti ke-23 dan satu lagi gol pukulan sudut penalti pada minit ke-32.

Perlawanan pembukaan hari ini turut menyaksikan Abdul Khaliq Hamirin menjaringkan dua gol peribadi menerusi gol gerakan padang pada minit kelima dan ke-33, sementara lima lagi gol yang terhasil disumbangkan oleh Danial Asyraf Abdul Ghani (m’8 FG), Muhamad Izham Azhar (m’22 PC), Muhammad Firdaus Omar (m’22 PC), Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (m’28 PC) dan Mohd Norhafizie Jamil Azomi (m’40 FG)

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki negara, Mohd Hanip Che Halim gembira dengan persembahan yang telah ditampilkan oleh anak-anak buahnya pada aksi pertama namun tetap merasakan ada kelemahan yang perlu diperbaiki ekoran skuad bimbingannya melepaskan satu gol.

“Walaupun kami menjaringkan lima gol daripada pukulan sudut penalti, namun terdapat beberapa kelebihan pukulan sudut penalti yang kami perolehi tidak berjaya dihabiskan dengan jaringan. Satu disebabkan oleh permukaan lantai getah yang baru dipasang menyebabkan bola agak melekat dan satu sebab lagi ekoran kekurangan fokus oleh pemain-pemain sendiri yang menyebabkan ianya tidak disudahkan dengan jaringan.

“Jika dilihat daripada sudut taktikal pasukan yang diterapkan hari ini, saya berpuas hati kerana pemain mengikut apa yang kami mahukan dan kami akan terus memperbaiki setiap kekurangan atau kesilapan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Perancangan untuk bertemu Filipina esok, saya mahukan pemain untuk lebih cepat stabil atau “settle down” daripada perlawanan hari ini kerana ada beberapa pemain kami yang baru tiba menyertai pasukan.

“Saya turut berharap pemain akan cepat untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sini kerana walaupun kami beraksi di dalam dewan, namun suasana di Kemboja ini lebih panas daripada biasa dan saya berharap kami akan terus mengutip tiga mata seterusnya untuk aksi yang kedua,” jelas beliau.

Aksi kedua pusingan round robin akan bersambung esok di mana Pasukan Lelaki Negara akan turun beraksi menentang Filipina pada jam 2:00 petang (waktu Malaysia).