Kemenangan 5-3 yang dicatatkan oleh Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Negara ketika turun bertemu Thailand dalam aksi keempat Acara Hoki Dalam Dewan, Temasya Sukan SEA 2023, Phnom Penh, Kemboja yang berlangsung di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar, hari ini, sekaligus membawa mereka ke pentas final walaupun masih mempunyai baki satu perlawanan.
Berbeza dengan Skuad Hoki Dalam Dewan Wanita Negara, mereka memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri pada perlawanan terakhir Pusingan Round Robin, bertemu Indonesia untuk melayakkan diri ke pentas final walaupun berjaya menundukkan tuan rumah, Kemboja 4-0 pada aksi keempat, hari ini.
Selepas empat perlawanan, Pasukan Lelaki Negara kini berada dikedudukan teratas carta walaupun berkongsi 12 mata bersama Indonesia, namun perbezaan jaringan meletakkan Malaysia di atas dan pentas final juga akan menemukan Malaysia dengan Indonesia sementara Thailand di kedudukan ketiga dengan enam mata keseluruhan selepas empat perlawanan.
Bagi Pasukan Wanita Negara pula, mereka kini berkongsi 10 mata bersama Thailand dan turut berada dikedudukan teratas carta selepas memiliki enam perbezaan gol sementara Indonesia di kedudukan ketiga dengan sembilan mata. Keputusan pada perlawanan terakhir Pusingan Round Robin juga akan menentukan antara Malaysia, Thailand, Indonesia, pasukan mana akan mara ke pentas final.
Dalam perlawanan kategori Lelaki yang menemukan Malaysia dengan Thailand, satu aksi sengit ditampilkan oleh kedua-dua pasukan dan Thailand yang terdesak untuk mencari kemenangan membuka tirai jaringan terlebih dahulu pada minit kelapan menerusi gol padang Suyaram Anuson.
Tersentak dengan jaringan tersebut Malaysia membalas tiga gol pada minit ke-11, minit ke-12 dan minit ke-19, hasil gol penalti stroke yang disudahkan oleh Faridzul Afiq Mohd serta gol padang Muhamad Izham Azhar dan gol pukulan sudut penalti Razali Mohd Hazemi, untuk Malaysia di depan pada separuh masa pertama.
Bersambung separuh masa kedua, Muhammad Firdaus Omar, memastikan kem negara terus memimpin perlawanan menerusi gol keempat hasil kelebihan pukulan sudut penalti. Bagaimanapun, Thailand dilihat terus mengasak dan berjaya mencuri dua gol berturut-turut hasil gol pukulan sudut penalti dan gerakan padang oleh A-Nukoon Warawut pada minit ke-33 dan ke-34.
Dua minti sebelum aksi sebenar tamat, Faridzul Afiq Mohd sekali lagi mencatat nama selaku penjaring apabila menyudahkan kelebihan pukulan sudut penalti yang sekaligus menutup perlawanan dengan kemenangan 5-3 berpihak pasukan negara.
Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki negara, Mohd Hanip Che Halim memuji barisan pemainnya yang kembali bangkit menunjukkan permainan lebih baik berbanding perlawanan semalam selain berjaya memanfaatkan setiap peluang yang terhidang.
“Corak permainan yang ditampilkan hari ini lebih kemas berbanding semalam, walau bagaimanapun, pada suku terakhir, pasukan agak leka sedikit dari segi bertahan dan Thailand mengambil peluang tersebut. Setiap “foul” kami sepatutnya perlu cepat berada dalam kedudukan tetapi sedikit kelekaan menyebabkan kami melepaskan dua gol.
“Tiada perlawanan yang akan berlangsung esok dan kami akan menggunakan tempoh masa berkenaan untuk melakukan sesi pemulihan dan aktiviti di dalam perkampungan sukan memandangkan cuaca di sini agak panas selain kami masih di dalam mood perlawanan.
“Pada perlawanan terakhir Pusingan Round Robin, persiapan perlawanan tetap akan menjadi perhatian supaya persiapan yang dilakukan untuk bertemu Indonesia nanti memberikan kesan positif di perlawanan akhir juga kerana kami akan bertemu Indonesia sekali lagi pada final, hari Ahad.
“Apa yang paling penting pada perlawanan terakhir adalah kami ingin mengelakkan daripada berlakunya sebarang kecederaan yang tidak diingini kerana ia pasti memberikan kesan pada aksi final nanti,” jelas beliau.
Aksi terakhir Pusingan Round Robin, Sabtu – 6 Mei, akan menemukan Pasukan Lelaki dan Wanita negara dengan Indonesia di mana Pasukan Lelaki akan turun beraksi terlebih dahulu pada jam 12:45 tengah hari (waktu Malaysia) dan diikuti Pasukan Wanita pada jam 2:00 petang (waktu Malaysia).

