Pasukan Lelaki Negara Sahkan Slot Final

Kemenangan 5-0 yang dicatat oleh Skuad Sukan SEA Lelaki Kebangsaan ke atas Thailand pada aksi ketiga round robin, acara Hoki Padang Lelaki, Temasya Sukan SEA 2023 Kemboja yang berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo, hari ini, membawa mereka ke pentas final. Walaupun masih berbaki satu perlawanan iaitu menentang Indonesia, esok, namun sembilan mata yang telah dikumpul cukup untuk mengesahkan slot Malaysia di pentas final dan Malaysia kini masih menanti lawan yang akan ditemui di pentas final nanti. Shahmie Irfan Suhaimi muncul penjaring hatrik buat Malaysia pada pertemuan hari ini bermula dengan gol pukulan sudut penalti yang juga jaringan pembukaan untuk Malaysia pada minti ke-12 diikuti dengan dua gol padang pada minti ke-20 dan gol kemenangan pada minit ke-49. Turut menyumbang gol pada aksi hari ini adalah pemain senior negara, Muhammad Najib Abu Hassan pada minit ke-17 selepas situasi kelam kabut yang berlaku di dalam kawasan lawan ketika Thailand cuba menidakkan percubaan Malaysia berjaya digunakan dengan sebaiknya oleh Najib Hassan. Situasi yang sama sekali lagi berulang beberapa saat sebelum aksi separuh masa pertama ditutup dan kali ini Mohammad Harris Iskandar Osman mencatat nama selaku penjaring gol padang pada minti ke-30. Ketua Jurulatih Pasukan Sukan SEA Lelaki Kebangsaan, Muhamad Amin Rahim menyifatkan anak-anak buahnya bermain dengan baik dan lebih tenang pada perlawanan hari ini selain menzahirkan rasa syukur atas tiga kemenangan berturut-turut yang diraih mereka. “Perlawanan hari ini, pemain berjaya menguasai permainan mengikut perancang pasukan yang telah diatur. Saya berharap pemain kekal fokus dan tidak membenarkan sebarang ruang untuk melakukan kesilapan mudah bagi aksi seterusnya. “Seperti yang diharapkan oleh semua, kami berjaya ke final. Namun masih ada baki satu perlawanan menentang Indonesia esok yang perlu kami lunaskan. “Apa yang paling penting untuk pasukan adalah disiplin selain konsisten dalam setiap game plan yang dirancang agar tidak memberi ruang dan peluang kepada pasukan lawan menguasai permainan. “Untuk pertemuan dengan Indonesia esok, seperti yang saya selalu katakan, kami perlu terus mengekalkan disiplin serta konsisten sepanjang perlawanan. Pemain juga harus bijak untuk tidak memberi harapan pada lawan atau menghidu peluang yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja lawan kami apabila kami bertemu di pentas final nanti. “Diharap pasukan akan terus kekal fokus dengan objektif iaitu untuk menang dan bawa pulang pingat emas untuk Malaysia," ujarnya. Esok, Skuad Lelaki Kebangsaan akan turun beraksi bertemu Indonesia bagi melengkapkan jadual perlawanan pusingan round robin jam 3:00 petang (waktu Malaysia).