ACT: Speedy Tigers Berdepan Pakistan Pada Aksi Pembukaan

Skuad hoki lelaki kebangsaan bakal menentang Pakistan dalam aksi pembukaan pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2024 yang bermula 8-18 September ini di Hulunbair, Inner Mongolia, China.

Skuad bimbingan Sarjit Singh itu yang tewas kepada India 3-4 dalam perlawanan akhir di Chennai, India, tahun lalu, mengintai peluang untuk memperbaiki pencapaian tersebut.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan itu berkata, anak-anak buahnya akan diuji Pakistan terlebih dahulu dalam perlawanan pembukaan pada 8 September ini.

“Perlawanan pertama selalunya sukar dalam mana-mana kejohanan, apa sahaja boleh berlaku, jika kita dapat menyesuaikan segera dengan permainan ia lebih baik untuk pasukan.

“Dalam dua perlawanan terdahulu bertemu Pakistan, keputusan tidak menyebelahi kita, kali ini kita akan menurunkan beberapa pemain muda dan juga pemain berpengalaman,” katanya.

Mengulas mengenai persediaan Speedy Tigers, beliau memberitahu, semuanya berjalan dengan lancar setakat ini dengan beberapa kejohanan dan aksi persahabatan yang telah diharungi anak-anak buahnya.

Para pemain telah mengharungi banyak perlawanan dalam Piala Sultan Azlan Shah, Piala Negara-Negara dan yang terbaru menyertai Jelajah Eropah,” ujar Sarjit yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik sebanyak dua kali.

Selepas perlawanan berdepan Pakistan, Speedy Tigers akan menentang China (9 September); juara bertahan, India (11 September); Jepun (12 September) dan Korea Selatan (14 September).

Menurut Sarjit, beliau amat berharap skuad bimbingannya dapat meraih kemenangan berdepan Pakistan dalam aksi pembukaan.

“Jika kita mampu berbuat demikian, maka, saya yakin para pemain akan mudah mendapatkan momentum untuk perlawanan-perlawanan berikut pula,” jelasnya.

Dalam dua perlawanan menentang Pakistan pada Piala Sultan Azlan Shah serta Piala Negara-Negara di Poland berkesudahan Malaysia tewas tipis 4-5 dan diikat dengan keputusan seri 4-4.

Ketika ditanya mengenai ilmu yang diperoleh skuad bimbingannya sepanjang menyertai Jelajah Eropah, Sarjit dalam nada positif yakin para pemainnya menimba banyak pengalaman beraksi di bawah tekanan sewaktu menentang skuad Olimpik Jerman, Belanda dan Belgium.

“Ia merupakan satu pengalaman yang baik kerana kami berpeluang beraksi menentang pasukan yang bagus dan kuat,” katanya yang akan terbang bersama Speedy Tigers ke Hulunbair pada 3 September ini.