Aksi Cemerlang Hafizuddin Ditagih Malaysia, Berdepan Jepun

Aksi cemerlang penjaga gol Speedy Tigers, Muhammad Hafizuddin Othman, ditagih sekali lagi untuk perlawanan keempat tuan rumah, Malaysia, di Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024, menentang Jepun malam ini.

Jika Malaysia berjaya menewaskan skuad Samurai, maka mereka akan berada di laluan yang tepat untuk mara ke pentas final, meskipun memiliki satu lagi baki perlawanan menentang Korea Selatan pada hari Jumaat.

Kemenangan 6-4 ke atas New Zealand semalam, memberi isyarat kepada Jepun bahawa Speedy Tigers ‘berwajah baharu’ mula menunjukkan karakter sebagai juara bertahan.

Semestinya, aksi cemerlang diperagakan oleh Hafizuddin menjadi kunci utama kepada dua kemenangan dilakar Malaysia sebelum ini, iaitu ke atas Kanada 6-2 dan New Zealand, selain ketajaman jentera serangan diterajui Faizal Saari serta Muhammad Azrai Abu Kamal.

Pada aksi menentang New Zealand semalam, Hafizuddin berjaya menafikan pukulan penalti stroke kedua dilakukan Jonty Elmes pada penghujung suku kedua.

“Penalti stroke itu memang saya pilih untuk menuju kepada satu arah sahaja iaitu kanan walaupun yang pertama saya tewas, tetapi kali kedua bola itu memang ke arah sama dan saya berjaya menahan bola itu.

“Ketika itu ada 18 saat sebelum tamat suku kedua, jadi memastikan bola itu tidak masuk adalah sangat penting, kerana kita tidak boleh masuk ke bilik persalinan dengan melepaskan gol kepada mereka,” katanya.
Penjaga gol berusia 31 tahun itu, turut mengakui bahawa bimbingan jurulatih penjaga gol, S Kumar, pada sesi latihan pukulan penalti stroke juga banyak membantunya.

Tambahnya, keserasian pertahanan negara yang diketuai kapten pasukan, Marhan Jalil, bersama Syarman Mat Tee dan Shafiq Hassan semakin baik dari semasa ke semasa.

“Sebelum ini memang ada menerusi perlawanan-perlawanan sesama kami untuk main pukulan penalti stroke.

“Kita tengok daripada perlawanan pertama kombinasi mereka semakin serasi kerana untuk aksi peringkat antarabangsa kita baru bermain tiga perlawanan.

“Dalam perlawanan tadi pun kita tengok memang kerap mereka melakukan pintasan apa semua, jadi saya rasa kalau diberikan masa lagi mereka boleh akrab untuk pertahanan,” ujarnya.

Untuk rekod, sepanjang 34 perlawanan membabitkan Malaysia menentang Jepun, 23 kemenangan memihak kepada Speedy Tigers dan enam buat skuad Samurai manakala lima berakhir dengan seri sejak aksi pertama pada tahun 1973 di Piala Dunia di negara matahari terbit itu.

Jepun yang masih memegang rekod tanpa kalah di PSAS edisi ke-30 ini, melihat perlawanan menentang Malaysia bakal memberi kesukaran kepada pemain-pemainnya.

Selain itu, ketua jurulatih Jepun, Yoshihiro Anai, juga mengingatkan anak buahnya untuk mengawal ketat penyerang Malaysia, iaitu Azrai yang telah mencipta dua hatrik di kempen PSAS kali ini.

“Malaysia pantas dan berkemahiran. Kami telah bermain banyak kali sebelum ini dan kini kami sedang membina pasukan ini.

“Perlawanan (semalam) menentang Pakistan adalah pantas dan sukar… jadi kita boleh jangkakan aksi sama akan dipamerkan Malaysia.

“Bagi saya, pemain nombor 23 (Azrai) sangat berbahaya kerana dia pernah menjaringkan gol ketika bertemu Pakistan dan Kanada,” katanya.

Jepun kini berada di tangga kedua selepas terikat 1-1 dengan Pakistan yang kekal menerajui kedudukan teratas, di mana kedua-dua pasukan mengumpul tujuh mata namun perbezaan gol menjadi pemisah manakala Malaysia di tempat ketiga (6 mata).

Selain aksi Malaysia, dua lagi pertembungan melibatkan Pakistan menentang Kanada pada pukul 4 petang manakala Korea Selatan berdepan New Zealand bagi aksi keempat saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh hari ini.