Walaupun peluang ke separuh akhir sudah berlalu, semangat juang pasukan-pasukan yang beraksi dalam perlawanan klasifikasi Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2025 tetap membara di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Setiap pasukan turun dengan satu matlamat iaitu menamatkan kempen dengan penuh maruah dan meninggalkan jejak membanggakan dalam kejohanan berprestij itu di pentas hoki tanah air.
Perlis menutup tirai dengan senyuman apabila menewaskan Negeri Sembilan 5-2 dalam aksi penentuan tempat ke-7 dan ke-8 kategori lelaki.
Aksi bertenaga daripada barisan pemain Perlis memperlihatkan ketajaman serangan mereka sejak awal permainan, sekali gus memastikan kemenangan bergaya untuk menamatkan kempen di tangga ketujuh.
Sabah pula turut mencipta penamat manis apabila menundukkan Pulau Pinang 3-1 dalam aksi penentuan tempat ke-9 dan ke-10.
Dalam satu lagi aksi penuh jaringan, Selangor berpesta gol apabila membelasah PDRM 11-6 dalam penentuan tempat ke-11 dan ke-12.
Walaupun bukan perebutan pingat, kedua-dua pasukan tetap menampilkan semangat juang tinggi, menjadikan perlawanan itu antara yang paling rancak dan menghiburkan di hari klasifikasi.

Sementara itu, saingan kategori wanita tidak kurang menariknya. Pulau Pinang berjaya mengatasi Negeri Sembilan 3-2 menerusi penentuan penalti shoot-out selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada masa sebenar bagi aksi klasifikasi tempat ke-7 dan ke-8.
Dalam satu lagi aksi, Terengganu mengakhiri kejohanan di tangga kesembilan apabila menewaskan Kuala Lumpur 3-2.
Walaupun perlawanan klasifikasi, kesemua pasukan tetap mempamerkan semangat kesukanan dan daya juang yang tinggi sekali gus membuktikan bahawa semangat TNB Piala Tun Abdul Razak bukan sekadar tentang kejuaraan, tetapi tentang maruah, kebanggaan, dan semangat juang di atas padang.









