Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan berada dilandasan tepat untuk meraih tiga mata pada aksi pembukaan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2025 namun kebangkitan New Zealand pada penghujung perlawanan menyaksikan Speedy Tigers terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata selepas perlawanan berkesudahan 2-2.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak hari ini, Speedy Tigers bermula garang apabila mempamerkan aksi cukup bertenaga dan membuka tirai jaringan pada minit ke-10 apabila penyerang, Shello Silverius melakukan larian ke dalam kawasan D sebelum menewaskan penjaga gol Black Sticks, Leon Hayward.
12 minit kemudian, Malaysia menggandakan kedudukan menerusi Syed Syafiq Syed Cholan yang menyempurnakan pukulan sudut penalti (PC) sebelum Sam Lane merapatkan kedudukan 2-1 hasil pukulan penalti stroke dua minit kemudian.
Ketika skuad kebangsaan berada diambang kemenangan bagi meraih tiga mata, Thomas Dylan menyamakan kedudukan sewaktu perlawanan hanya berbaki dua minit dan perlawanan ditutup dengan keputusan seri 2-2.
Ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh menegaskan secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan corak permainan dipersembahkan anak buahnya meskipun berkesudahan dengan keputusan seri.
Jelasnya, untuk aksi seterusnya, pemain-pemainnya tidak boleh leka dan perlu lebih tenang sepanjang 60 minit masa permainan berlangsung, selain memanfaatkan peluang terhidang sebaik mungkin.
“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan usaha dan disiplin pemain, terutama bagaimana kami mengawal permainan dan mendahului 2–0. Cuma kami perlu lebih tenang pada minit-minit akhir kerana melepaskan dua gol, termasuk satu gol lewat, menunjukkan masih ada ruang untuk kami perbaiki pengurusan permainan.
“Kami perlu tingkatkan konsistensi selama 60 minit, lebih kemas dalam bertahan ketika tekanan tinggi, dan pastikan kami mengekalkan fokus selepas mendahului. Keputusan di kawasan D juga perlu lebih tajam untuk memaksimumkan peluang yang kami cipta,” katanya selepas perlawanan.
Pada aksi itu menyaksikan penjaga gol negara, Muhammad Hafizuddin Othman dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.
Mengulas mengenai perlawanan esok, berdepan Kanada, Sarjit menyifatkan lawannya itu memiliki kekuatan fizikal yang baik dan menjangkakan perlawanan akan berlangsung sengit.
“Kanada ialah pasukan yang kuat secara fizikal dan bermain dengan struktur yang tersusun, jadi kami perlu bersedia dari segi intensiti dan transisi.
“Saya menjangkakan satu perlawanan yang sengit, tetapi jika kami bermain dengan disiplin dan memperbaiki kesilapan daripada aksi pertama, saya yakin kami mampu dapatkan keputusan yang positif,” jelasnya.









