Blue Warriors lakar kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan Angkatan Tentera HT 7-0 pada perlawanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025 (Wanita) di Stadium Hoki KPM, Lembah Pantai, Kuala Lumpur, pada Sabtu (18 Januari).
Skuad bimbingan Megat Azrafiq Megat Termizi itu membuka jaringan seawal minit ke-6 selepas pemain import dari Korea Selatan, Cho Eun Ji meledakkan gol hasil pukulan sudut penalti bagi meletakkan Blue Warriors mendahului 1-0.
Juara Piala Sumbangsih itu tidak perlu menunggu lama apabila menyumbat gol kedua hasil jaringan padang Fatin Shafika Mahd Sukri pada minit ke-11 dan kedudukan kekal Blue Warrior mendahului 2-0 sehingga separuh masa pertama berakhir.
Blue Warriors tidak menunggu lama sebaik babak kedua disambung semula apabila seorang lagi pemain import Korea Selatan, Cheon Seul Ki menjaringkan gol ketiga pada minit ke-33.
Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan benteng pertahanan Angkatan Tentera telah membuka laluan kepada Blue Warriors menyempurnakan tiga gol hanya berselang seminit yang disempurnakan oleh Eun Ji (minit ke-40), Norashikin Halim (minit ke-41) dan Seul Ki (minit ke-42).
Raja Norsharina Raja Shabuddin memastikan Blue Warrior melengkapkan kemenangan bergaya 7-0 ke atas Angkatan Tentera yang diterajui jurulatih, Siti Rahmah Othman pada minit ke-51.
Kemenangan tersebut menyaksikan Blue Warriors kini mengungguli carta TNB MHL 2025 (Wanita) setelah mengumpul 9 mata daripada tiga perlawanan, manakala, Angkatan Tentera di tangga ke-5 dengan tiga mata selepas menang sekali dan tewas dua kali.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil juga di ibu negara, juara bertahan, Malaysian University meraih kemenangan 2-0 ke atas Qnet Phoenix.
Malaysian University yang dibimbing oleh jurulatih, Ikmal Abdul Jabar memperoleh dua gol menerusi pemain kebangsaan, Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin (minit ke-20) dan Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad (minit ke-51) yang dihasilkan melalui pukulan sudut penalti.
Kejayaan yang diukir Malaysian University itu meletakkan pasukan tersebut di tempat keempat dalam carta liga selepas mengutip tiga mata daripada dua perlawanan.
Bagi Qnet Phoenix yang diterajui bekas pemain kebangsaan, Lailin Abu Hassan pula kekal berada di tangga kedua walaupun tewas, setelah mengumpul empat mata daripada tiga perlawanan.









