Dua Skuad B18 Negara Sasar Kebangkitan

Skuad hoki bawah 18 tahun (B18) lelaki negara menyasarkan kebangkitan dalam aksi kedua Kumpulan B Piala Asia B18 2026 menentang Pakistan di Stadium Hoki Kakamigahara, Jepun esok.

 

Perlawanan itu amat penting untuk kembali membuka peluang buat skuad B18 lelaki ke peringkat seterusnya selepas bermula langkah kiri tewas 2-4 kepada Bangladesh dalam aksi pembukaan hari ini.

 

Ketua jurulatih skuad B18 lelaki, Mohd Harfizi Baharom berharap anak-anak buahnya bangkit dengan aksi lebih berdisiplin dalam misi mencari kemenangan ke atas Pakistan yang merupakan naib juara edisi lalu.

 

“Kami perlu perbaiki beberapa kelemahan terutama bertahan secara berpasukan dan kesilapan individu yang menyebabkan dua gol Bangladesh hari ini.

 

“Pemain perlu lebih berani ambil risiko sebab kita perlukan tiga mata untuk kembali mencabar kedudukan. Kita akan tunjukkan sikap melawan dan perlu berdisiplin tinggi menentang Pakistan,” katanya.

 

Empat gol Bangladesh dijaringkan dua oleh Munna Islam pada minit kesembilan dan 40 selain masing-masing satu daripada Ismail Hosen (m12) serta Jony Islam (m57).

 

Dua gol skuad B18 lelaki pula dihasilkan oleh Yogeswaran Nagulan dan Ariq Aidil Hakimi Nor Rizal, kedua-duanya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-30 serta 50.

 

 

Situasi sama turut dialami skuad B18 wanita yang perlu mencatat kemenangan ke atas Singapura hari ini selepas tewas tipis 1-2 kepada India dalam aksi Kumpulan A hari ini.

 

Pengendali skuad B18 wanita, Siti Amarina Ruhani berpuas hati dengan keseluruhan prestasi pemain dan berharap ia dapat dikekalkan untuk menewaskan Singapura.

 

“Kita perlu gunakan segala peluang sebaik mungkin untuk hasilkan jaringan sebab kita mahukan kemenangan dan tiga mata,” jelasnya.

 

Skuad B18 wanita meraih gol tunggal menerusi Zariefah Dania Mazlan pada minit ke-41, manakala dua gol India dijaringkan oleh Nousheen Naz pada minit ke-19 dan 28.