JADUAL
Klasifikasi tempat ke-9 hingga 16
ISNIN (11 DISEMBER)
MALAYSIA lwn MESIR (9 pagi)
BELGIUM lwn KANADA ( 11.15 pagi)
AFRIKA SELATAN lwn CHILE (3.45 ptg)
KOREA SELATAN lwn NEW ZEALAND (6 ptg)
SKUAD hoki Malaysia harus melupakan episod perit gagal layak ke suku akhir di laman sendiri secepat mungkin.
Tidak salah jika penderitaan ini ‘ditanggung sementara’ tapi jangan sampai abaikan langsung tugasan sama penting selepas ini – iaitu penentuan dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-9 sehingga 16.
Barisan Young Tigers kita bakal turun menentang Mesir, pagi esok (Isnin) dan hanya kemenangan dapat menggapaikan impian baru untuk memburu status selaku pasukan ke-9 terbaik dalam kejohanan membabitkan 16 pasukan terbaik dunia.

Selepas Mesir, skuad negara masih ada dua lagi halangan sebelum dapat mengejar posisi teratas dalam saingan ibarat ‘Liga Divisyen Dua’ yang turut membabitkan tiga pasukan ternama – Belgium, Afrika Selatan dan Korea Selatan.
Ketua jurulatih, Muhammad Amin Rahim jelas ada tugasan mencabar menunggunya mengerti penyokong setia pasukan mahukan satu penawar duka.
Dia turut mengulangi mengambil penuh tanggungjawab gagal mengemudi pasukan ke suku akhir. Tapi ketika sama dia berasa apa lebih penting adalah memusatkan tumpuan untuk menang perlawanan berikut kerana kejohanan bagi pasukan belum tamat lagi.
“Kita tiada pilihan dan wajib menang mengatasi Mesir Isnin ini untuk menyambung survival kita memburu tempat ke-9 kali ini.
“Saya arah setiap pemain bangkit mengulangi persembahan terpuji ketika menewaskan Chile (7-1) dalam perlawanan pertama.
“Sebelum perlawanan itu, ikrar pasukan adalah untuk menewaskan Chile dengan apa cara sekalipun. Janji dapat tiga mata.
“Kami berjaya melunaskan janji itu. Jadi, pertemuan dengan Mesir tiada bezanya. Kami akan tetap fokus untuk menang esok dan layak ke halangan berikut dalam klasifikasi,” kata Amin.
Ketika sama dia juga menyebut penjaga gol utama, Mohamad Rafaizul Mohamad Saini akan kekal menjaga gawang dalam kesebelasaa pasukan kerana pengurusan pasukan masih menaruh kepercayaan ke atasnya.
Pengendali pasukan itu yang pernah beraksi sebagai pemain dalam Piala Dunia 2001 di Hobart, Australia meluahkan isi hatinya betapa dia percaya anak buahnya kini mahu mengikis persepsi pengkritik dan pemerhati hoki yang menyoal persembahan hambar pasukan ketika menentang Argentina dan Australia dalam Kumpulan A.
Dia menyambung dengan berkata segala-galanya terarah kepada pemain untuk bangkit membuktikan sesuatu dan kemenangan ke atas Mesir akan pasti dapat meredakan situasi.

Jika ini berhasil keyakinan pemain muda kita akan meningkat semula untuk menghadapi halangan berikut dengan minda tenang dan lebih yakin.
“Mereka sudah diberikan segala yang diperlukan untuk latihan dan perlawanan persahabatan serta kejohanan jemputan sebelum menghadapi Piala Dunia Remaja ini.“Sekarang mereka adalah watak utama untuk menjayakan misi. Saya sebagai jurulatih masih percaya anak buah saya ada potensi untuk menewaskan mana-mana pasukan,” katanya.
Mesir yang menghuni tangga tercorot Kumpulan B tanpa sebarang mata hasil tiga kekalahan tidak mahu menyerah mudah kepada pasukan tuan rumah.
“Seperti tuan rumah kami juga ada keazaman mahu menang walaupun kami menghadapi pelbagai kepincangan sebelum datang ke Kuala Lumpur.
“Kemenangan dalam perlawanan klasifikasi Isnin ini sekurang-kurangnya dapat membuat kami gembira apabila pulang,” kata ketua jurulatih mereka, Moustaffa Khalil.
Sementara itu, tiga lagi perlawanan peringkat sama membabitkan pertemuan Belgium menentang Kanada, Afrika Selatan bertemu Chile dan Korea Selatan berdepan New Zealand.
Daripada lapan pasukan ini, Belgium adalah yang paling kecewa gagal ke suku akhir sehingga ketua jurulatih mereka Jeroen Baart tidak lagi peduli siapa lawan mereka dalam perlawanan klasifikasi Isnin ini.
“Kami amat sedih tersingkir. Sasaran kami adalah layak ke suku akhir dan kami gagal. Sekarang, kami tak kisah siapa lawan kami Isnin ini. Kami akan bangkit dan menang mencari kedudukan terpuji,” katanya dengan nada muram di sidang media pada Sabtu.
JADUAL
Klasifikasi tempat ke-9 hingga 16
ISNIN (11 DISEMBER)
MALAYSIA lwn MESIR (9 pagi)
BELGIUM lwn KANADA ( 11.15 pagi)
AFRIKA SELATAN lwn CHILE (3.45 ptg)
KOREA SELATAN lwn NEW ZEALAND (6 ptg)









