Malaysia mengalami kekalahan pertama dalam pusingan Kumpulan Elite, Kejohanan Hoki 5’s Piala Asia 2023 (Lelaki) di Salalah Oman selepas tewas 5-7 kepada India pada aksi keempat yang berlangsung petang ini.
Selepas empat perlawanan, Malaysia kini dikedudukan kedua walaupun berkongsi 9 mata dengan India. Kelebihan menjaringkan gol lebih banyak (43 gol) selain bolos (18 gol) meletakkan Malaysia di atas India yang menjaringkan 38 gol serta bolos 13 gol.
Perlawanan terakhir pusingan kumpulan akan menjadi penentu, pasukan mana yang akan mengiringi Pakistan secara automatik ke pusingan separuh akhir. Bagaimanapun kedua-dua pasukan (Malaysia dan India) perlu mencatatkan jumlah gol yang lebih antara satu sama lain selepas perbezaan jaringan juga bolos antara Malaysia dan India adalah sama iaitu 25.
Malaysia pada aksi hari ini berjaya membuka tirai jaringan terlebih dahulu hasil gerakan padang Muhammad Arif Syafie Ishak pada minit keenam sebelum Ismail Abu terus meletakkan Malaysia selesa dihadapan seminit kemudian.
Beberapa saat selepas gol kedua Malaysia terhasil, India bangkit membalas gol tersebut menerusi Gurjot Singh. Serangan pantas terus dilakukan oleh Malaysia untuk kembali menjarakkan kedudukan dan hasilnya gol ketiga berjaya dijaringkan oleh Muhamad Nazrey Din pada minit kelapan.
Bagaimanapun sebelum aksi separuh masa pertama ditutup, India kembali mengejar dengan dua gol pada minit ke-11 dan 12 masing-masing menerusi Gurjot Singh dan Maninder Singh untuk aksi separuh masa pertama ditutup 3-3.
Bersambung separuh masa kedua, India berjaya memimpin permainan menerusi gol hatrik Gurjot Singh pada minti ke-17 sebelum pada minit ke-21, Mohammed Raheel terus memastikan India dihadapan dengan kelebihan 5-3.
Tidak berputus asa, Malaysia cuba bangkit mengejar kedudukan tersebut dan hasilnya kelebihan “challenge” yang diperolehi Malaysia berjaya ditermejahkan kepada gol pada minit ke-26 oleh Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin.
Gurjot Singh menambah dua lagi gol peribadinya pada minti ke-29 dan ke-30 untuk meletakkan India berkelebihan 7-4 namun beberapa saat sebelum aksi sebenar berakhir, Malaysia menambah satu lagi gol menerusi kelebihan “challenge” yang disudahkan oleh Syarman Mat Tee bagi memastikan margin perlawanan hari ini tidak terlalu besar.
Jam 10:00 malam ini (waktu Malaysia) pasukan negara akan turun beraksi sekali lagi untuk perlawanan terakhir pusingan Kumpulan Elite, bertemu Pakistan.









