Hoki 5s Piala Asia : Malaysia 2-4 Jepun

Aksi terakhir pusingan peringkat Kumpulan Elite, Kejohanan Hoki 5’s Piala Asia 2023 (Wanita) di Salalah Oman, yang menemukan Pasukan Hoki 5s Wanita Kebangsaan dengan Jepun berkesudahan dengan Malaysia tewas 2-4 kepada lawan mereka.

Keputusan itu sekaligus menyaksikan Malaysia menutup saingan Kumpulan Elite di kedudukan terakhir dan bakal membuat perhitungan dengan Juara Kumpulan Challenger iaitu Hong Kong China, pada jam 12 awal pagi ini bagi merebut slot ke separuh akhir.

Nur Zafirah Aziz sekali lagi muncul penjaring tunggal buat Malaysia apabila menyumbangkan dua gol pada pertemuan dengan Jepun, hari ini bermula gol gerakan padang pada minit keempat diikuti gol challange pada minit ke-10

Terdahulu aksi yang berlangsung hari ini menyaksikan kem negara dikejutkan dengan gol pembukaan lawan seawal pada minit pertama menerusi jaringan padang Risa Nakasechi.

Malaysia dilihat bangkit dengan dua gol hasil jaringan Nur Zafirah Aziz yang sekaligus menutup aksi separuh masa pertama dengan kelebihan buat Malaysia.

Bersambung separuh masa kedua, semuanya bagaikan tidak menjadi buat Malaysia apabila Jepun menjaringkan tiga gol untuk memenangi aksi terakhir pusingan kumpulan.

Hatrik Koko Koda pada minit ke-23, minit ke-24 dan minit ke-28 meletakkan Jepun di kedudukan ketiga kumpulan secara keseluruhan dan akan bertemu Indonesia di perlawanan crossover bagi merebut satu lagi slot ke separuh akhir.