Hoki 5s Piala Asia : Malaysia ke Separuh Akhir

Pasukan Hoki 5s Wanita Kebangsaan mara ke pusingan separuh akhir selepas berjaya meraih kemenangan 5-3 ke atas Hong Kong China dalam aksi “crossover” Kejohanan Hoki 5’s Piala Asia 2023 (Wanita) di Salalah Oman, awal pagi ini.

Kemenangan bermakna itu diraih pada saat yang cukup penting bagi membuka kembali peluang Malaysia merebut slot ke Piala Dunia Hoki 5s Wanita 2024 di mana tiga pasukan terbaik akan meraih tiket ke Piala Dunia yang akan berlangsung pada Januari 2024 di Muscat Oman.

Kejayaan mara ke separuh akhir itu juga pastinya menjadi detik manis buat penjaring dua gol Malaysia, Zati Alyani Muhamad Zubir, yang turut dipilih selaku pemain terbaik perlawanan menentang Hong Kong China.

Bagi Ketua Jurulatih Skuad Hoki 5s Wanita Kebangsaan, Nabil Fiqri Mohd Noor, beliau menyifatkan prestasi yang ditampilkan oleh skuad bimbingannya pada aksi “crossover” lebih baik daripada tiga perlawanan di pusingan peringkat kumpulan.

“Pemain turun dan bermain dengan sepenuh hari bagi mencari kemenangan yang cukup penting. Namun saya melihat masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki menjelang dua perlawanan terakhir.

“Bagi aksi separuh akhir bertemu India, kami sedia maklum India merupakan pasukan pilihan, namun kami akan turun beraksi pada perlawanan tersebut dengan mentaliti untuk memang.

“Pada saya di pusingan kalah mati, siapa yang lebih menginginkan kemenangan, dia yang akan berjaya ke peringkat seterusnya,” jelas beliau.

Pada aksi yangt berlangsung hari ini, Malaysia membuka tirai jaringan pada minit kelima menerusi gol padang Zati Alyani Muhamad Zubir dan berselang dua minit kemudian, beliau berjaya memastikan Malaysia terus dihadapan menerusi gol kedua peribadinya pada perlawanan tersebut.

Minit ke-13, giliran Wan Nur Syafiqah Syahirah Wan Nordin untuk meletakkan Malaysia selesa dihadapan 3-0 dan sekaligus menutup aksi separuh masa pertama dengan kelebihan buat Malaysia.

Bersambung separuh masa kedua, Hong Kong China cuba untuk bangkit mengejar kedudukan menerusi gol padang Wong Ching Lung pada minti ke-21 namun jaringan tersebut segera dipadam dengan dua gol padang oleh Nur Zafirah Aziz pada minit ke-24 dan Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri pada minit ke-26.

Hong Kong China terus menggandakan asakan dan cuba mengejar kedudukan, hasilnya mereka berjaya menambah dua lagi gol pada minit ke-30, masing-masing menerusi gol challenge, Lau Pui Sze dan penalti stroke, McNeil Kirsten. Bagaimanapun gol tersebut tidak cukup untuk menidakkan kemenangan 5-3 Malaysia pada aksi hidup mati itu.

Esok, Isnin – 28 Ogos jam 4:00 petang (waktu Malaysia), Skuad Hoki 5s Wanita Kebangsaan akan turun bertemu India dalam aksi separuh akhir sekaligus merebut slot ke pentas final.