Jepun Laung Amaran Kepada Pakistan

Jepun membuktikan bahawa kedudukan ranking hanyalah angka di atas kertas selepas mengejutkan dua pasukan di tangga lebih baik daripada mereka dalam pertangingan hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024 yamg bermula hari Sabtu di Ipoh.

Digelar sebagai ‘pembunuh gergasi’, Jepun yang berada dikedudukan ke-16 dunia telah mengejutkan Korea Selatan 2-1 pada perlawanan pertama dan menjadikan pasukan di ranking 10 dunia, New Zealand ‘mangsa’ seterusnya dengan melakar kemenangan besar 4-1 ke atas skuad Olimpik Paris tersebut.

Justeru, menjelang pertemuan menentang Pakistan esok, ketua jurulatih skuad Samurai, Yoshihiro Anai optimis bahawa anak buahnya mampu mengecewakan juara tiga kali PSAS berkenaan.

Katanya, pendekatan sama akan digunakan Jepun seperti mana mereka menewaskan New Zealand iaitu bertahan dengan baik dan menggunakan serangan balas pantas sebagai senjata utama merobek gawang Pakistan.

“Tiada sebarang ketakutan atau rasa gementar berdepan Pakistan walaupun semua tahu mereka pasukan yang bagus dan memiliki pemain-pemain berkemahiran individu yang tinggi.

“Sasaran kami dalam setiap perlawanan di kejohanan ini adalah menang tidak kira dengan siapa kami bermain. Itu yang saya mahu bina dalam mentaliti setiap pemain,” katanya.

Kali terakhir Jepun bertemu Pakistan adakah ketika Sukan Asia Hangzhou 2023 yang menyaksikan skuad Samurai melakar kemenangan 3-2.

Dalam pada itu, Pakistan yang dimaklumkan oleh jurulatihnya, Roelant Oltmans, bahawa pasukannya hanya melakukan persiapan singkat bagi menghadapi kejohanan ini namun keputusan menunjukkan sebaliknya.

Pakistan memulakan kempen PSAS edisi ke-30 dengan menewaskan tuan rumah Malaysia0 5-4 ke atas Malaysia dan membelasah Korea Selatan 4-0 pada aksi kedua kejohanan itu.

Kapten Pakistan, Ammad Butt berkata aksi menentang Jepun adalah sukar namun pasukan yang mampu minimum kesilapan dan memanfaatkan peluang dicipta bakal keluar daripada padang sebagai pemenang.

“Setiap pasukan yang kami lawan adalah sukar dan kami tidak pernah memandang rendah kekuatan lawan dihadapi di kejohanan ini.

“Jepun bagi saya mereka pasukan yang kuat dan dibuktikan mereka dengan menewaskan New Zealand dan Korea Selatan. Tentunya ia akan menjadi perlawanan menarik.

“Kami perlu kurangkan lakukan kesilapan dan memastikan peluang dicipta disempurnakan sebaik mungkin,” jelasnya.