Jepun Sekat Hajat Malaysian Tigress Ke Separuh Akhir

Impian skuad hoki wanita negara untuk mara ke separuh akhir disekat Jepun selepas tewas 0-4 pada aksi ketiga Kumpulan B saingan kelayakan Piala Dunia 2026 di Santiago, Chile, awal pagi tadi.

 

Dalam aksi berlangsung sengit itu, Malaysia berjaya mengekang asakan lawan sehingga tamat separuh masa pertama tanpa jaringan.

 

Bagaimanapun, memasuki babak kedua, Jepun mula menemui rentak pada suku ketiga apabila Shiho Kobayakawa membuka jaringan menerusi gol padang pada minit ke-39.

 

Kobayakawa sekali lagi menghukum benteng Malaysia apabila menambah gol kedua pada minit ke-45 untuk meletakkan Jepun mendahului 2-0.

 

Jepun menambah dua lagi jaringan masing-masing menerusi Hiroka Murayama tiga minit kemudiaan dan ledakan Akari Nakagomi pada minit ke-55 hasil gol padang.

 

Keputusan itu menyaksikan Malaysia akan beraksi untuk penentuan tempat 5/8 dan akan berdepan pasukan yang menghuni kedudukan keempat dalam kumpulan A.

 

Pengendali skuad Malaysian Malaysian Tigress, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim tetap memuji prestasi anak buahnya meskipun tewas dan akui bahawa pada babak pertama mereka menunjukkan disiplin permainan yang tinggi.

 

Jelasnya, pemain-pemain muda yang berada dalam skuad negara memerlukan pendedahan aksi antarabangsa yang lebih banyak bagi memastikan mereka menjadi lebih baik dan Mohd Nasihin juga berharap anak buahnya akan bangkit pada perlawanan penentuan ke-5 hingga ke-6.

 

“Pemain-pemain bermain dengan baik pada separuh masa pertama dimana mereka begitu berdisiplin dan dapat dilihat pasukan Jepun berdepan kesukaran untuk menjaringkan gol.

 

“Namun pada separuh masa kedua, apabila pemain-pemain muda mendapat tekanan yang lebih tinggi menampakkan bahawa ada beberapa pemain muda yang perlu lebih banyak perlawanan antarabangsa.

 

“Beberapa kesilapan membolehkan pasukan lawan menjaringkan gol. Untuk perlawanan penentuan 5 hingga 8 kita akan bangkit dengan lebih baik bagi memastikan kita dapat menamatkan saingan di kedudukan kelima atau keenam,” katanya selepas perlawanan.

 

Mengikut format pertandingan, dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan melangkah ke separuh akhir.

 

Tiga pasukan terbaik setiap kempen kelayakan akan layak secara automatik ke saingan akhir Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda dari 14 hingga 30 Ogos depan.

 

Satu lagi slot akan ditentukan berdasarkan ranking dunia membabitkan pasukan di tempat keempat terbaik daripada dua kejohanan kelayakan, dengan satu lagi saingan berlangsung di Hyderabad, India.