Skuad Senior Wanita Kebangsaan memulakan kempen Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan langkah positif menerusi kemenangan dominan 5-0 ke atas Kazakhstan pada aksi pertama Kumpulan A di Stadium Kawasaki Juko hari ini.
Bagaimanapun, Malaysian Tigresses berpeluang memenangi aksi di Kakamigahara, Gifu itu dengan keputusan yang lebih besar apabila memiliki banyak peluang termasuk tujuh pukulan sudut penalti (PC) dan dua penalti stroke (PS).
Jurulatih Skuad Senior Wanita Kebangsaan, C.R. Kumar percaya anak-anak buahnya akan menampilkan prestasi yang lebih ‘garang’ dalam aksi seterusnya menentang Bangladesh pada 21 September ini.
“Bagi saya, perlawanan hari ini kurang memuaskan, mungkin faktor aksi pertama dan juga sudah lama tiada kejohanan tetapi pemain tetap memberikan prestasi terbaik mereka.
“Hari ini kami ada 7 PC tetapi kami cuma jaringkan satu dan pada masa sama kita gagal menyudahkan satu penalti stroke. Kadang-kadang ia boleh merugikan kita dari segi jumlah jaringan.
“Mereka (Kazakhstan) bermain secara defensif, tidak cuba untuk menyerang, jadi pemain perlu lebih bijak mengawal emosi dan diri mereka. Saya harap kita akan bermain lebih baik aksi seterusnya menentang Bangladesh nanti,” katanya.
Malaysian Tigresses membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan menerusi gol padang Nuramirah Shakirah Zulkifli sebelum Khairunnisa Ayuni Sharuddin menggandakan kedudukan menerusi PC pada minit ke-12.
Nur Afiqah Syahzani Azhar menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-17 dan kemudian Nuramirah menebus kegagalannya menyudahkan penalti stroke beberapa minit selepas itu dengan gol keempat pasukan pada minit ke-21.
Bagaimanapun, Skuad Senior Wanita Kebangsaan berdepan kesukaran untuk menambah lagi jaringan sepanjang suku ketiga sebelum Nur Afiqah meledak gol kelima apabila menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-49.
Kemenangan 5-0 itu secara tak langsung meningkatkan motivasi para pemain dalam usaha memburu empat terbaik buat kali pertama selepas meraih tempat kelima pada lima edisi berturut-turut sejak 2006 di Doha, Qatar.
Pencapaian terbaik Malaysian Tigress di pentas Sukan Asia adalah pingat gangsa edisi 1982 di New Delhi, India dan empat tahun kemudian meraih tempat keempat di Seoul, Korea Selatan pada 1986.









