Ledak 21 Gol, Myanmar Mangsa Belasahan Pertama Speedy Tigers

Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan membuka kempen Sukan SEA Thailand 2025 dengan penuh bergaya apabila membelasah Myanmar 21-1 dalam aksi pembukaan pusingan round robin di Bangkok, hari ini.

 

Kemenangan besar itu bukan sahaja mengesahkan ketajaman jentera serangan negara, tetapi turut memberi amaran bahawa pingat emas acara itu akan terus menjadi milik Malaysia pada temasya edisi ke-33 tersebut.

 

Aksi yang berlangsung di National Sports University, Chonburi dikuasai sepenuhnya seawal minit pertama hingga akhir oleh Speedy Tigers itu menyaksikan, Muhajir Abdu Rauf membuka tirai jaringan seawal minit ke-2.

 

Rentak itu diteruskan oleh jaguh Asia Tenggara (ASEAN) yang tampil lebih agresif, lebih tersusun dan menampilkan kematangan taktikal jauh mengatasi Myanmar.

 

Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal muncul antara watak utama kejayaan besar ini apabila meledak tujuh gol, termasuk jaringan padang dan pukulan penalti sekali gus membuktikan reputasinya sebagai penjaring prolifik yang mampu mengubah rentak perlawanan pada bila-bila masa.

 

Syed Mohammad Syafiq Syed Cholan turut mempamerkan ketajaman menyudahkan pukulan sudut penalti apabila menyumbang empat gol, manakala Norsyafiq Sumantri meledak tiga jaringan.

 

Malaysia memberi amaran awal kepada lawan-lawan lain bahawa mereka memiliki keupayaan untuk mencipta jaringan dari pelbagai sudut sama ada pukulan sudut penalti, jaringan padang atau situasi terbuka menonjolkan kepelbagaian taktikal skuad bimbingan Sarjit Singh.

 

Amanraj Singh, Mohd Fitri Saari dan Alfarico Lance Liau Jr turut mencetak nama sebagai penjaring sekali gus menampakkan bahawa kekuatan Malaysia bukan bergantung kepada beberapa pemain sahaja, sebaliknya hadir sebagai unit pasukan yang lengkap dan seimbang.

 

Satu-satunya gol Myanmar hadir menerusi penalti stroke oleh Oo Thein Htike pada minit ke-18, namun ia langsung tidak menjejaskan penguasaan Malaysia.

 

Sebaliknya, skuad negara terus menekan Myanmar hingga ke wisel penamat dan mengakhiri perlawanan dengan jaringan pukulan sudut penalti oleh Shello Silverius pada minit ke-60.

 

Dengan permulaan yang begitu meyakinkan, Malaysia jelas menghantar mesej jelas kepada semua pencabar bahawa mereka bukan sekadar turun untuk mengekalkan pingat emas yang dimenangi sejak sekian lama, malah membuktikan kenapa mereka layak memegang status jaguh ASEAN.

 

Ketua Jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh berkata secara keseluruhan pemain-pemainnya bermain dengan baik dan kemenangan besar ke atas Myanmar merupakan satu perkara positif untuk pasukan.

 

“Pemain bermain dan menguasai bola dengan baik, Myanmar bukan pasukan yang kuat. Jumlah jaringan sangat baik untuk kita dan kita harus kekalkan momentum ini.

 

“Padang ini ada masalah hingga menyebabkan kita banyak hilang bola apabila memberhentikan bola kerana bola banyak kali melantun naik.

 

“Kita di sini pastinya nak menang kejohanan ini (pingat emas), pesan saya kepada pemain, terus bermain dengan baik dan sentiasa memanfaatkan peluang sebaik mungkin,” kata Sarjit selepas perlawanan.

 

Speedy Tigers akan meneruskan aksi round robin menentang Indonesia esok.

 

Untuk rekod, Malaysia kini telah mengumpul 17 pingat emas sejak penyertaan dalam temasya dwitahunan itu bermula di Kuala Lumpur pada 1971 hingga edisi terakhir di Kemboja pada 2023.