Malaysia Alih Fokus Cari Penutup Terbaik Kejohanan

Skuad Hoki Remaja Lelaki Negara memaksa India berkerja keras sebelum akur tewas 1-2 dalam aksi terakhir peringkat ‘round robin’ Kejohanan Antarabangsa Hoki Bawah 21 Tahun (B-21) Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-13 di Stadium Hoki Taman Daya, hari ini.

 

Keputusan itu menyaksikan Malaysia kekal dengan empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan, sekaligus bakal beraksi dalam perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam menentang New Zealand, esok.

 

Dalam perlawanan sengit itu, kedua-dua pasukan bermula berhati-hati dengan aksi seimbang di suku pertama yang berakhir tanpa jaringan.

 

Namun, India mula menemui rentak pada suku kedua apabila Gurjot Singh meletakkan mereka di hadapan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-22.

 

Malaysia tidak mudah mengalah apabila Naaveennesh Panicker menyamakan kedudukan pada minit ke-43 hasil gol padang namun lima minit selepas itu, India kembali mendahului apabila Rosan Kujur menerusi pukulan sudut penalti untuk memberi kemenangan kepada pasukan bimbingan P.R. Sreejesh itu.

 

Mengulas aksi anak buahnya, Nor Saiful Zaini Nasiruddin tetap berpuas hati dengan persembahan dipamerkan, terutama dari segi disiplin taktikal dan semangat juang tinggi pemain muda negara.

 

“Kita bermain dengan baik secara taktikal, cuba menutup ruang tengah dan memaksa mereka bermain di bahagian tepi. Ia berhasil dalam mengurangkan ancaman serangan India, walaupun kita kurang peluang menyerang kerana ramai pemain berada di kawasan sendiri.

 

“Sepanjang perlawanan, kita masih mampu membawa bola ke dalam kawasan D India, menjaringkan satu gol dan mencipta beberapa peluang. Gol mereka pula menerusi pukulan sudut penalti.

 

“Esok, kita akan turun seperti biasa dan cuba menamatkan kejohanan ini dengan kemenangan. Objektif utama kita adalah peningkatan dari satu perlawanan ke perlawanan berikutnya,” katanya.

 

Tambah Nor Saiful, walaupun sasaran untuk berada di podium tidak tercapai, namun aksi menentang pasukan seperti India, Pakistan dan Australia dalam kejohanan ini memberi pengalaman amat berharga menjelang Piala Dunia Hoki Remaja 2025 yang akan berlangsung di Chennai dan Madurai, India dari 28 November hingga 10 Disember nanti.

 

“Pertemuan semula dengan New Zealand akan jadi peluang terbaik untuk memperbaiki aspek penyudahan dan organisasi bertahan. Saya percaya pemain kita semakin matang dan memahami keperluan di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

 

Dengan semangat tidak mudah mengalah serta peningkatan prestasi dalam kejohanan itu, skuad Young Tigers kini mahu memastikan penutup kejohanan kali ini diakhiri dengan nota kemenangan sebagai suntikan motivasi menjelang Piala Dunia Remaja.