MALAYSIA………………4 MESIR……………1

TUAN rumah, Malaysia berjaya menyempurnakan satu tugasan yang amat diperlukan – menang ke atas Mesir 4-1 dan mengejar kedudukan terpuji dalam edisi ke-13, Piala Dunia Remaja kali ini.
Dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-9 sehingga 16 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, pagi ini, skuad bergelar Young Tigers memperagakan aksi berbeza pada setiap babak, namun keringat itu memadai dapat menunaikan janji untuk menang.
Angka kemenangan kita mungkin lebih besar tapi skuad muda negara gagal menguat peluang selepas dihadiahkan sejumlah 16 pukulan sudut penalti dengan hanya dua disumbat masuk sepanjang tempoh 60 minit permainan.

Apapun, kemenangan bermakna ini memberi tiket skuad negara untuk mencapai hajat awal menghuni kedudukan terbaik secara keseluruhan apabila berdepan saingan tempat ke-9 hingga 12.
Lawan berikut Young Tigers adalah pemenang di antara Belgium dan Kanada pada Rabu ini.
Mengerti kemenangan adalah wajib, skuad Young Tigers membuka langkahan mereka penuh bersemangat dan menjelmakan persembahan positif. Perwatakan ini membutirkan hasil untuk mendahului 2–0 pada babak pertama.
Ketika perlawanan meniti minit ke-8, penyokong bersorak menyambut gol pertama hasil jaringan padang Harris Osman.
Jaringan itu membakar semangat pemain dan ketua jurulatih, Muhammad Amin Rahim terus arah anak buahnya mara ke depan mencari jaringan tambahan.
Jeritan itu didengar dan selang lapan minit kemudian cengkaman pasukan makin kukuh dengan papan markah digital berubah kepada 2-0 memihak rumah.
Kapten pasukan, Faris Harizan ceria selepas menamatkan kemarau jaringannya di kejohanan dengan gol cantik menerusi pukulan sudut penalti.
Anehnya, selepas rehat, rentak permainan berubah dan jentera pasukan tampak longgar dengan kesilapan secara kerap, termasuk tampanan yang mudah hilang daripada kawalan – baik dalam kubu sendiri dan dalam kawasan D lawan.
Hanya pada lewat babak saingan, pemain negara mula menemui sentuhan dan menambah dua gol lagi pada minit ke-44 menerusi Muhammad Danish Aiman dan Aqilrullah Che Nur (m-50).

Pemain negara menyambut gol ketika menewaskan Mesir 4-1 dalam saingan klasifikasi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Mesir mendapat gol sagu hati pada minit terakhir permainan menerusi jaringan padang Basel Abdelmonem.
Muhammad Amin Rahim (ketua jurulatih Malaysia)
“Ya, kita menang dan melaksanakan janji awal untuk menang. Tahniah kepada pemain. Tapi secara keseluruhannya saya tidak puas hati dengan persembahan sepasukan.
Kita dapat 16 pukulan sudut tapi dua yang masuk. Ini memang teruk.

Pemain negara, Ahmad Suhaimi Kamaruddin berdepan halangan Ziad Fathalla dari Mesir dalam saingan klasifikasi tempat ke-9 hingga 16, pagi ini

Harap dalam perlawanan berikut ia tidak diulangi. Saya percaya kita akan menentang Belgium dan perbaiki kelemahan agak ketara ini dengan segera.
Pemain kena sedar perlawanan berikut bukan mudah lagi. Kami akan bersedia dengan lebih yakin.”