Malaysia Ke Pusingan ‘Super Four’

Speedy Tigers menepati ramalan untuk mara ke pusingan ‘Super Four’ selepas mencatat kemenangan kedua Kumpulan B, Kejohanan Piala Asia 2025 di Rajgir, India, menewaskan Korea Selatan dengan keputusan 4-1, hari ini.

 

Pada aksi di Stadium Kompleks Sukan Rajgir, Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan terlebih dahulu dikejutkan oleh Korea Selatan dengan gol seawal minit ke-2 menerusi Jin Geonhyo.

 

Tersentak dengan gol awal itu, anak buah Sarjit Singh kembali mengatur gerakan lebih teratur dan hasilnya mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-29 hasil gol padang jaringan Mohamad Akhimullah Anuar Esook.

 

Speedy Tigers terus garang dengan menambah dua lagi gol masing-masing menerusi Mohamad Ashran Hamsani yang meledak gol padang pada minit ke-33, disusuli penyudah pukulan sudut penalti disempurnakan Akhimullah Anuar.

 

Akhimullah Anuar memastikan hatrik buat dirinya dan juga menghadiahkan kemenangan bergaya kepada Malaysia apabila menjaringkan gol keempat pada minit ke-58 menerusi gol padang.

 

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan, Sarjit Singh memuji semangat juang dan sikap pemain yang tidak mudah putus asa apabila bangkit menjaringkan empat gol walaupun dibolosi pada minit awal.

 

Jelasnya, corak permainan dan prestasi ditunjukkan para pemain sememangnya melayakkan mereka untuk keluar padang sebagai pemenang.

 

“Pada minit awal kita lepaskan gol tetapi selepas itu pemain menunjukkan kebangkitan dan bermain dengan baik.

 

“Mereka mula menggerakkan bola dan menunjukkan semangat juang yang tinggi. Bagi saya mereka memang layak untuk menang perlawanan yang berlangsung sengit hari ini,” katanya.

 

Speedy Tigers yang telah mengesahkan tempat di pusingan ‘Super Four’ mahu memastikan kemaraan itu dengan rekod bersih apabila mensasarkan kemenangan ke atas Taiwan pada perlawanan terakhir Kumpulan B yang dijadualkan berlangsung Isnin ini.

 

Sarjit juga berharap semua pemainnya bebas daripada kecederaan terutama apabila bermain di pusingan Super Four.

 

“Sebelum kita bermain dengan Taiwan (Isnin nanti), kita perlu menguruskan dengan baik beberapa kecederaan yang dialami ketika menentang Korea Selatan. Jadi pemain perlu menjalani proses pemulihan supaya pasukan berada dalam keadaan terbaik kerana kita perlu mendapatkan tiga mata berdepan Taiwan.

 

“Perkara penting adalah pusingan Super Four kerana dalam lima hari, kita kena bermain empat perlawanan. Jadi kita harap semua pemain akan bebas daripada sebarang kecederaan,” jelasnya.

 

Pada pusingan Super Four bakal menyaksikan empat pasukan berentap secara round robin bagi memburu kedudukan dua terbaik sekaligus akan beraksi di final Piala Asia 2025.