Malaysia Tewaskan Thailand, 5-2

Malaysia berjaya melepasi cabaran pertama dalam pusingan kedua (Pool C), Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan Taldykorgan, Kazakhstan, apabila menewaskan Thailand 5-2 pada aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Taldykorgan, hari ini.

Pusingan kedua ini bakal menentukan dua pasukan yang layak ke pentas final sekaligus meraih tiket automatik ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025 di Poreč, Croatia dan kini hanya Iran menjadi penghalang terakhir Malaysia.

Malaysia akan turun bertemu Iran pada aksi terakhir Kumpulan C esok dan keputusan daripada perlawanan tersebut akan menentukan pasukan mana berjaya ke pentas final.

Pada perlawanan keempat Malaysia secara keseluruhan, Muhammad Aminuddin Mohd Zain dipilih selaku pemain terbaik perlawanan menentang Thailand, dan ia pastinya hadiah yang cukup manis buatnya yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-29, hari ini.

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Kebangsaan, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi nyata gembira dengan kemenangan yang diraih dan Malaysia kini hanya selangkah untuk mengapai cita-cita beraksi di pentas final, sekaligus ke Piala Dunia 2025.

“Alhamdulillah kami berjaya mendapatkan kemenangan yang cukup penting dan secara keseluruhan barisan kejurulatihan sangat berpuas hati dengan kemenangan yang kami capai.

“Namun daripada sudut permainan hari ini, terdapat kesilapan-kesilapan yang masih berlaku dan pemain perlu mengurangkannya.

“Untuk aksi terakhir pusingan kedua esok, kami akan bertemu pasukan Iran yang merupakan pasukan kuat selain mempunyai pengalaman bermain di Piala Dunia.

“Aksi esok pemain pastinya akan turun bermati-matian dan memberikan segalanya bagi meraih keputusan yang positif.

“Persiapan sebaiknya akan dilakukan untuk memastikan Malaysia ke pentas final sekaligus layak untuk beraksi di Piala Dunia 2025,” jelasnya.

Kapten pasukan, Muhammad Najmi Farizal Jazlan menyumbang dua gol berturut-turut buat Malaysia pada minit keempat dan kesembilan selepas kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki berjaya disudahkan dengan sempurna.

Minit ke-18, giliran Muhamad Izham Azhar mencatat nama selaku penjaring hasil satu lagi kelebihan pukulan sudut penalti untuk Malaysia menutup cerita separuh masa pertama dengan kelebihan 3-0.

Bersambung suku ketiga, Malaysia yang masih belum puas dengan jaringan yang telah dihasilkan menggandakan asakan dan hasilnya pada minti ke-29, menerusi gerakan padang, Abdul Khaliq Hamirin meletakkan Malaysia selesa dihadapan 4-0.

Sebaik sahaja suku keempat bermula, Thailand berjaya mendapatkan pukulan sudut penalti dan Warawut A-Nukoon menjaringkan gol pertama untuk Thailand pada minit ke-30 sebelum empat minit kemudian, satu lagi kelebihan pukulan sudut penalti yang diterima menyaksikan beliau sekali lagi meledak gol kedua buat Thailand.

Bagaimanapun Malaysia terus melebarkan jurang gol menerusi penyudahan pukulan sudut penalti oleh Faridzul Afiq Mohd pada minti ke-37 yang sekaligus menutup aksi hari ini dengan Malaysia mengutip tiga mata berharga.