Malaysian Tigress Buka Kempen Dengan Langkah Kiri

Skuad Hoki Wanita Negara memulakan kempen Piala Asia Wanita 2025 di Gongshu dengan langkah kiri apabila tewas 0-8 kepada tuan rumah, China, pada aksi pembukaan Kumpulan A hari ini.

 

Perlawanan bermula sukar buat Malaysian Tigress apabila gawang mereka dibolosi seawal minit pertama menerusi jaringan padang Zou Meirong.

 

Walaupun cuba mengatur gerakan balas, pasukan bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim terus diasak dan akhirnya melepaskan gol kedua hasil sentuhan Li Hong dan Ou Zixia yang menyempurnakan pukulan sudut penalti lima minit kemudian.

 

Bersambung babak kedua, dominasi pemenang pingat Perak Sukan Olimpik itu semakin jelas apabila mereka menambah lima lagi jaringan bermula dengan ledakan Dan Wen pada minit ke-32, diikuti Fan Yunxia (m-34), Meirong (m-36), Chen Yang (m-40) dan Zhong Jiaqi (m-49) untuk melengkapkan kemenangan tuan rumah.

 

Mengulas tentang keputusan itu, ketua jurulatih negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim, mengakui beliau telah menjangkakan cabaran getir menentang China yang merupakan pemenang pingat Perak Sukan Olimpik.

 

“Kita sudah jangka China akan turun dengan misi memburu jaringan besar. Gol awal yang dilepaskan menyebabkan corak permainan kita menjadi tidak teratur.

 

“Namun, ada juga beberapa aspek positif dapat dilihat, antaranya kemampuan bertahan secara berkumpulan. 10 pukulan sudut penalti yang diberikan adalah hasil kawalan terlalu rapat terhadap pemain lawan, selain jurang dari segi kepantasan berbanding China.

 

“Kami terpaksa menukar struktur permainan dengan menambah lebih ramai pemain di kawasan pertahanan. Taktik itu sedikit sebanyak membantu mengekang asakan lawan,” katanya.

 

Nasihin Nubli berharap pemain-pemain dapat bangkit pada perlawanan seterusnya iaitu berdepan Taiwan pada Ahad ini dan segera melupakan kekalahan kepada China.

 

Jelasnya, pasukan akan menjalani sesi latihan esok dan akan ada sesi analisa video bagi melihat kelemahan dan apa yang perlu dipertingkatkan menjelang perlawanan seterusnya.

 

“Hari ini jelas kelihatan beberapa pemain hilang keyakinan selepas dibolosi bertubi-tubi. Untuk perlawanan seterusnya, kami mahu mereka bangkit dengan semangat juang lebih kental selain memastikan pemain tampil dengan lebih bersemangat tinggi,” katanya.

 

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama gergasi Asia, China, selain Taiwan dan Korea Selatan. Hanya dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir, menjadikan baki dua perlawanan menentang Taiwan dan Korea Selatan sebagai penentu penting buat Malaysian Tigress.