Malaysian Tigress Fokus Kedudukan Lima Terbaik

Impian skuad hoki wanita kebangsaan untuk mara ke pusingan ‘Super Four’ Kejohanan Hoki Piala Asia Wanita 2025 di Hangzhou, China, tidak kesampaian selepas tewas 0-5 ditangan juara tiga kali, Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan A, hari ini.

 

Berikutan itu, sasaran menamatkan saingan di kedudukan tempat kelima terbaik menjadi focus utama Malaysian Tigress, mereka akan memulakan peringkat klasifikasi tempat kelima hingga kelapan berdepan Singapura, Rabu ini.

 

Pada aksi terakhir Kumpulan A, yang berlangsung di Stadium Gongshu Canal Sports Park, menyaksikan Korea Selatan membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti oleh Kim Eunji pada minit ke-12, disusuli dua gol padang dijaringkan Cheon Eunbi masing-masing pada minit ke-27 dan ke-30.

 

Korea Selatan menambah dua lagi gol, masing-masing menerusi Jeong Dabin yang menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-39 dan Cho Hyejin meledak gol padang dua minit sebelum perlawanan tamat.

 

Keputusan itu menyaksikan Malaysian Tigress kekal di tangga ketiga Kumpulan A dengan tiga mata, sekali gus tidak berjaya mara ke pusingan ‘Super Four’.

 

Ketua jurulatih negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim mengakui beberapa kesilapan dilakukan menyebabkan pasukannya dihukum oleh Korea Selatan.

 

Jelasnya, beberapa keputusan pengadil juga boleh dipertikaikan sehingga menyebabkan Malaysia terlepas dua pukulan sudut penalti.

 

“Perlawanan bertemu Korea Selatan kita tewas, kita bermain dekat bawah dengan baik tetapi apabila kita memberi mereka ruang semasa cuba bermain secara ‘built up’ dan terlalu banyak membuat kesilapan dalam melakukan hantaran.

 

“Korea Selatan mempunyai kelajuan yang tinggi dan mereka menggunakan kelebihan itu untuk menghukum pertahanan kita menerusi serangan balas pantas. Kita juga mempunyai beberapa peluang dan saya rasa ada beberapa keputusan pengadil yang boleh dipertikaikan kerana sepatutnya kita diberikan dua lagi pukulan sudut penalti,” kata Mohd Nasihin selepas perlawanan.

 

Bercakap mengenai perlawanan seterusnya bagi peringkat klasifikasi tempat kelima hingga kelapan, dimulakan dengan bertemu Singapura pada Rabu ini pada pukul 12.15 tengahari, Mohd Nasihin menyeru anak buahnya bangkit mencipta kemenangan.

 

“Untuk perlawanan bertemu Singapura saya mahu pemain memberi segalanya seperti mana mereka beraksi ketika bertemu Taiwan.

 

“Sasaran saya agar kita menang dengan selesa dalam kesemua baki perlawanan ini dan membuktikan kepada KHM (Konfederasi Hoki Malaysia) bahawa kita adalah pasukan yang boleh menandingi pasukan-pasukan yang berada di kedudukan empat terbaik.

 

“Saya mahu mereka pemain-pemain Malaysia memberikan yang terbaik menunjukkan bahawa kita juga antara yang terbaik di Asia,” ujarnya.

 

Malaysia sebelum ini memulakan kempen dengan langkah kiri apabila tewas 0-8 kepada China, Jumaat lepas, sebelum bangkit membenam Taiwan 11-1 semalam.

 

Pencapaian terbaik skuad negara dalam kejohanan ini adalah meraih tempat ketiga pada edisi sulung 1985 di Seoul.