Maybank Kembali Temui Rentak Kemenangan

Maybank kembali menemui rentak kemenangan selepas mengetepikan cabaran Kelab Hoki Matador 5-3 dalam saingan Premier, TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat (17 Januari).

 

Skuad bimbingan Iman Gobinathan itu hanya berjaya memecah kebuntuan jaringan selepas mereka dihadiahkan pukulan sudut penalti yang disempurnakan dengan baik oleh bekas pemain kebangsaan, Muhammad Razie Abd Rahim pada minit ke-20.

 

Seminit selepas itu, Maybank sekali lagi berjaya membolosi pintu gol Matador hasil gol padang yang disempurnakan Muhamad Izham Azhar.

 

Bagaimanapun, Matador yang berusaha bangkit berjaya merapatkan jurang gol pada minit ke-24 apabila Muhammad Sufyan Khan melakukan rembatan kencang tepat ke pintu gol Maybank melalui pukulan sudut penalti untuk menjadikan kedudukan 2-1.

 

Maybank kembali menjarakkan kedudukan kepada 3-1 selepas Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini menyumbat gol padang pada minit ke-25.

 

Permainan yang memasuki suku ketiga berlangsung sengit setelah pengadil memberi pukulan sudut penalti kepada Matador yang disempurnakan dengan baik oleh Muhammad Sufyan pada minit ke-41 bagi merapatkan kembali jurang gol kepada 3-2.

 

Selepas saingan disambung semula pada suku terakhir, anak-anak buah Iman Gobinathan yang meningkatkan kelajuan permainan berjaya menokok gol keempat pada minit ke-47 menerusi Muhammad Najmi Farizal Jazlan, sebelum, Matador kembali merapatkan jurang gol menjadi 4-3 oleh Abdul Waheed Ashraf Rana.

 

Dua minit sebelum wisel penamat dibunyikan pengadil, Maybank memastikan kemenangan mutlak menjadi milik mereka apabila Muhammad Razie menjaringkan gol kelima pasukannya.

 

Kejayaan itu memastikan Maybank kekal berada di tangga kedua di belakang pendahulu liga, Kelab Hoki Terengganu (THT) selepas mengumpul 12 mata daripada empat kemenangan yang dilakar mereka.

 

Iman Gobinathan ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, para pemainnya mempamerkan peningkatan yang ketara apabila menjaringkan lima gol dalam perlawanan berdepan Matador.

 

“Sewaktu kami tumpas di tangan UiTM, kami kerap melancarkan serangan ke kubu lawan, tetapi, gagal melalukan tindakan penyudah yang lebih berkesan.

 

“Namun, hari ini, persembahan yang dipamerkan para pemain jauh berubah dan kami berjaya meraih kemenangan,” katanya.

 

Menurutnya, selepas ini, Maybank akan berehat seketika kerana rata-rata pemainnya akan berangkat ke Eropah bersama skuad hoki dalam dewan kebangsaan bagi menyertai Piala Dunia Hoki Dalam Dewan.

 

Sementara itu, dalam perlawanan di Stadium Hoki Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang, Nurinsafi Sporting akhirnya mencatat kemenangan sulung mereka selepas menewaskan Kelab Hoki Lelaki Lioning 2-1.

 

Dua gol Nurinsafi dijaringkan oleh Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi (minit ke-21) dan Japnit Singh (minit ke-26), manakala, jaringan tunggal pasukan lawan disempurnakan oleh Yang Peng (minit ke-58).

 

Nurinsafi kini menghuni tangga kelapan setelah mengumpul tiga mata, manakala, Lioning berada di kedudukan tercorot selepas gagal mengutip sebarang mata daripada tiga pertemuan setakat ini.