Hasrat Skuad Hoki Remaja Lelaki Negara mengekalkan momentum kemenangan tidak kesampaian apabila tewas 1-4 kepada Great Britain dalam aksi Kejohanan Antarabangsa Hoki Bawah 21 (B-21) Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-13 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, hari ini.
Keputusan itu, menyaksikan Malaysia mengumpul empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan dua tewas sekali gus menyukarkan peluang menamat saingan SOJC di kedudukan podium.
Pada aksi itu, Young Tigers terlepas peluang membuka tirai jaringan pada minit ketiga ketika memperolehi tiga pukulan sudut penalti berturut-turut namun kesemuanya tidak berjaya disempurnakan oleh Harris Iskandar Osman dan Azimuddin Shakir Kamaruddin.
Sebaliknya, Great Britain berjaya menjaringkan gol pertama menerusi Kaden Draysey yang menyempurnakan pukulan sudut penalti menewaskan penjaga gol, Haziq Muizuddin Hairul Mizan.
Pada aksi suku kedua, Young Tigers meningkatkan intensiti permainan dan melakukan serangan bertali arus ke gawang Great Britain, hasilnya Malaysia berjaya memperolehi gol penyamaan pada minit ke-17 menerusi Adam Asyraf Mohd Johari.
Tersentak dengan gol itu, skuad kendalian Mike Delaney kembali di depan dua minit kemudian, menerusi gol padang Jonny Sturch-Hibbit, disusuli jaringan kedua serta ketiga disumbang Michael Royden (m-26) dan Sturch-Hibbit (m-39).
Pengendali skuad remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengakui Great Britain memiliki kelebihan daripada segi kualiti individu serta pengalaman yang nyata sukar ditandingi pemain muda negara.
“Secara keseluruhan ada perkara positif dan negatif yang boleh diambil. Kita gagal menyaingi kepantasan dan kawalan bola mereka terutama dalam situasi satu lawan satu.
“Mereka tidak banyak peluang dalam kotak D kita, tetapi setiap kali dapat peluang, mereka berjaya hasilkan gol. Kita pula ada beberapa peluang termasuk pukulan sudut penalti, namun tidak dimanfaatkan,” katanya.
Skuad remaja negara akan berehat sehari sebelum memberi tumpuan sepenuhnya dalam aksi menentang India pada 17 Oktober ini (Jumaat).
Tambah Nor Saiful, peluang untuk menamatkan kedudukan podium di kejohanan ini mungkin sudah berakhir namun beliau menggesa semua pemain menggunakan pengalaman di SOJC sebagai persiapan terbaik menjelang Piala Dunia nanti.
“Kita akan berehat, sebelum berjumpa India. Kita tahu India ini pasukan yang bagus kerana tahu rata-rata pemain mereka bermain di liga profesional dan juga ke Eropah bermain dengan pasukan di sana.
“Sudah tentu sukar untuk pasukan Malaysia walau bagaimanapun kita akan lihat kekuatan dan kelemahan mereka nanti. Kita akan cuba memberi aksi terbaik.
“Untuk kejohanan ini mungkin sukar untuk kita akhiri di kedudukan podium. Cuba kita harap dapat bermain dan tunjuk prestasi terbaik supaya pemain kita dapat mempersiapkan diri untuk bermain di Piala Dunia, itu saja yang kita boleh buat dalam dua aksi terakhir ini,” jelasnya.









