Pahang, Melaka, Terengganu Sahkan Tempat ke Separuh Akhir Lelaki

Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2025 kini memasuki fasa mendebarkan apabila dua pasukan iaitu Kuala Lumpur dan ATM berebut satu lagi tiket ke separuh akhir bagi saingan lelaki selepas aksi hari ketujuh yang berlangsung penuh dramatik di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

 

Sementara, saingan wanita pula, empat pasukan yang akan beraksi di peringkat empat terbaik akan diketahui esok.

 

Terengganu yang turun selaku juara bertahan mungkin gagal meneruskan rentak kemenangan bersih, namun keputusan seri 1-1 menentang Kuala Lumpur sudah cukup untuk memastikan mereka kekal di puncak Kumpulan A dan melangkah ke separuh akhir lebih awal.

 

Pasukan Pantai Timur itu membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi pakar pukulan sudut penalti, Faizal Saari, sebelum Kuala Lumpur menyamakan kedudukan hasil jaringan padang Danial Asyraf Abd Ghani pada minit ke-45.

 

Pertembungan sengit itu menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan hingga ke wisel penamat, namun tiada tambahan jaringan dihasilkan.

 

Terengganu kekal gah di tangga teratas, manakala Kuala Lumpur terpaksa mengharapkan ATM tewas di tangan kelab Pantai Timur itu, esok bagi mengesahkan tempat ke pusingan empat terbaik.

 

Sementara itu, dua lagi aksi Kumpulan A turut sarat dengan debaran apabila PDRM dan Kedah berakhir dengan keputusan 3-3, manakala ATM juga terikat 3-3 dengan Sabah.

 

Di Kumpulan B, Pahang terus menunjukkan keampuhan mereka sebagai pencabar utama kejuaraan selepas menewaskan Perak 5-1 dan kemenangan itu mengekalkan rekod tanpa kalah mereka sekali gus memastikan tempat mereka di separuh akhir.

 

Negeri Sembilan pula menewaskan Melaka 3-2, namun keputusan itu belum cukup untuk menafikan kemaraan Melaka yang turut mengesahkan slot ke separuh akhir berdasarkan kelebihan mata terkumpul.

 

Dalam aksi lain, Pulau Pinang dan Selangor terikat 2-2 dalam perlawanan penuh sengit.

 

Beralih ke saingan wanita, Melaka dan Perak berkongsi satu mata selepas seri 1-1 dalam aksi Kumpulan A, manakala Negeri Sembilan akhirnya mencatat kemenangan pertama apabila menundukkan Kuala Lumpur 2-0.

 

Kumpulan B pula terus mencuri tumpuan apabila Pahang menewaskan Terengganu 3-1, sementara Pulau Pinang menang tipis 3-2 ke atas Kedah dalam pertemuan yang berlangsung mendebarkan hingga ke minit terakhir.

 

Dengan saingan kini menghampiri penghujung peringkat kumpulan, aura perebutan tempat ke separuh akhir semakin terasa. Setiap jaringan kini menjadi penentu, dan setiap kesilapan boleh mengundang padah kepada mana-mana pasukan yang leka.

 

Peminat hoki tanah air pasti bakal disajikan dengan pertarungan penuh intensiti menjelang aksi separuh akhir pada 10 Oktober ini, di mana hanya pasukan paling konsisten dan berani akan kekal berdiri menuju pentas final berprestij.