
KEPUTUSAN
INDIA 10 KANADA 1
PAKISTAN 1 BELGIUM 1
PAKISTAN memaksa Belgium menggigit jari dengan keputusan seri 1-1 yang sudah memadai buat juara 1979 itu mara ke suku akhir, edisi ke-13 Piala Dunia Remaja di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Hari turut ceria untuk Asia, apabila satu lagi wakil benua , India juga layak selepas membelasah Kanada 10-1 dalam saingan terakhir Kumpulan C.
Dalam suku akhir nanti, Pakistan bimbingan Roelant Oltmans yang muncul naib juara Kumpulan D akan menentang juara Kumpulan C, Sepanyol pada Selasa.
India pula akan turun ke gelanggang menentang juara Kumpulan D, Belanda pada hari sama.

Pakistan tampak bergelut mencari rentak pada babak pertama dan Belgium yang lebih berselera apabila membuat gempuran pantas untuk mendahului 1-0 seawal minit ketiga menerusi Jack Vloeberghs dan kedudukan itu bertahan sehingga berakhir babak pertama.
Tidak mahu mengalah, dominasi Pakistan mula terserlah dan keringat mereka berbalas dengan gol penyamaan pada minit ke-42 menerusi Arbaz Ahmad hasil pukulan sudut penalti yang padu.

APA KATA MEREKA
Roelant Oltmans (ketua jurulatih Pakistan)
“Saya menghambur pujian ke atas seluruh anggota pasukan Pakistan baik pertahanan, bahagian tengah dan penyerang. Mereka menunjukkan aksi menakjubkan, malam ini.
Kami menguasai permainan dan Belgium tidak memberi ancaman untuk menambah jaringan.
Inilah kali pertama selepas 20 tahun kami berjaya layak ke suku akhir dan ia satu perasaan hebat untuk pasukan. Harap kami dapat menyambung rentak sama apabila bertemu Sepanyol nanti.”
Jeroen Baart (ketua jurulatih Belgium)
“Kami amat sedih tersingkir. Hajat kami adalah mahu layak ke suku akhir dan bukan ke perlawanan klasifikasi. Tetapi sekarang itulah hakikatnya dan kami terpaksa terima.
Kami gagal menjaringkan gol kedua dan kami sedih. Impian anak buah saya hancur malam ini.
Kami tidak kisah siapa ditemui selepas ini. Kami akan bangkit kembali dan pulang dengan kedudukan terbaik.”
Dalam perlawanan terdahulu, juara dua kali, India bangkit garang pada babak kedua dengan ledakan lapan gol untuk mengesahkan slot ke suku akhir Piala Dunia Remaja apabila merakamkan kemenangan besar 10-1 ke atas Kanada, malam ini.
Keputusan dalam saingan terakhir Kumpulan C ini membantu juara 2001 dan 2016 itu mengutip enam mata dan muncul naib juara di belakang Sepanyol.
India yang hadir dengan status selaku juara benua Asia, menyumbat dua gol dalam tempoh empat minit untuk mendahului 2-0 menerusi Arjun Adiya Lalage (m8) dan Rohit (m12) hasil jaringan padang dan pukulan sudut penalti.

Namun, selepas jaringan itu, penguasaan menjadi milik penuh India yang tampil garang menambahkan lapan gol lagi hasil keringat Lakra Amandeep, minit ke-23, 52, Vishnukant (m42), Rajinder (m43), Arjun (m43), Anand Kushwaha Sourabh (m51), Rohit (m55) dan Uttam Singh (m58).
APA KATA MEREKA
C R Kumar (ketua jurulatih India)
“Rentak permainan kami agak perlahan pada babak pertama tapi berjaya meningkatkan tekanan ke atas lawan pada suku ketiga dan keempat. Saya gembira kami mendapat momentum itu dan mahu ia dapat disambung lagi dalam saingan suku akhir nanti.

Kami tidak peduli memikirkan siapa lawan kami sama ada Pakistan atau dari wakil Eropah. Semuanya sama kuat. Dalam peringkat ini anda tidak akan dapat lawan yang mudah lagi. Kami sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan untuk bermain hoki yang bagus.”
Geoffrey Matthews (ketua jurulatih Kanada)

“Ya, memang amat dukacita untuk kalah besar. India bijak dan menggunakan kelajuan mencari peluang dan menghukum setiap kesilapan kami. Apa pun, setidak-tidaknya perlawanan ini memberi kami pengajaran baik untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada untuk kejohanan akan datang.
Selepas ini, kami akan berehat dan bersiap untuk perlawanan klasifikasi . Harap ada perubahan dalam nasib kami. Tapi kami tetap melihat siapa saja lawan kami bukan halangan mudah. Kami perlu bermain hoki yang bagus selama 60 minit.”
JADUAL
Klasifikasi tempat ke-9 hingga 16
ISNIN (11 DIS)
Malaysia mln Mesir (9 pagi)
Belgium mln Kanada ( 11.15 pagi)
Afrika Selatan mln Chile (3.45 ptg)
Korea Selatan mln New Zealand (6 ptg)
SUKU AKHIR
SELASA (12 DISEMBER)
Argentina mnl Jerman (9 pagi)
Belanda mnl India (11.15 pagi)
Perancis mnl Australia (3.45 ptg)
Sepanyol mnl Pakistan (6 ptg)