
KEPUTUSAN
KOREA SELATAN………..4 KANADA……………1
PAKISTAN………………….4 NEW ZEALAND……0
PAKISTAN makin garang dan tampak seperti mahu membuktikan sesuatu kepada pemerhati hoki dalam Kejohanan Piala Dunia Remaja (JWC) kali ini.
Hari ini , anak didik Roelant Oltmans menjelmakan satu lagi prestasi mengagumkan menewaskan Kanada 4-0 dalam saingan Kumpulan D di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bagi menyalakan impian mahu layak ke peringkat suku akhir edisi ke-13 kali ini.
Lebih ceria, penyerang mereka, Arshad Liaqat merakamkan jaringan hatrik pada minit ke-19, 30 dan 54 untuk mengumpul jumlah keseluruhan kepada empat gol selepas menyumbat satu ketika Pakistan seri 3-3 dengan Belanda pada Rabu.
“Kami makin bersemangat selepas menang perlawanan dan mahu cuba untuk menjuarai kumpulan ini apabila bertemu Belgium dalam perlawanan terakhir,” katanya yang diumumkan selaku Pemain Terbaik Perlawanan, hari ini.
Satu lagi gol pasukan adalah sumbangan Shahid Hannan pada minit ke-32. Dengan kemenangan besar ini Pakistan sudah mengumpul empat mata dan memerlukan sekurang-kurangnya satu mata lagi untuk mengesahkan tiket ke suku akhir.

APA KATA MEREKA
Roelant Oltmans (ketua jurulatih Pakistan)
“Kami mengekalkan tempo sama daripada perlawanan menentang Belanda dan rentak itu memberikan hasil untuk menewaskan Kanada hari ini.
Saya kagum dengan sikap gigih pemain mahu menang. Pencapaian ini memberi harapan untuk menghidu peluang mara ke suku akhir nanti.
Tapi, saya tetap label Belanda dan Belgium pasukan kuat dalam kumpulan. Tugasan bagi kami adalah untuk menyambung usaha baik ketika ini dan mencari sesuatu positif apabila bertemu Belgium kelak.”
Aaron Ford (ketua jurulatih New Zealand)
“Kami kecewa dengan keputusan ini. Kami cuba bangkit merapatkan jurang jaringan tapi nyata Pakistan barisan lebih baik dan berjaya menghalang segala peluang kami.
Lawan kami juga sebuah pasukan berkualiti dan memiliki kemahiran tinggi. Kami mengalah kepada pasukan yang lebih baik hari ini.
Kami akan berehat sehari sebelum bertemu Belanda dalam perlawanan terakhir. Saya terpaksa akur ini juga satu lagi perlawanan sukar bagi kami tapi akan cuba yang terbaik.”
Sementara itu, Korea Selatan tunjuk selera besar untuk merakamkan kemenangan pertama selepas menewaskan Kanada 4-1 dalam saingan Kumpulan C, hari ini.
Apa pun jaguh dari Asia itu terpaksa menyerap segala tekanan pada babak pertama dan tambah perit ketinggalan 0-1 apabila pemain Kanada, Robin Thind merobek gawang mereka pada minit ke-24.
Selepas rehat, baru Korea Selatan menunjukkan kemampuan sebenar dan meledak empat gol menerusi Lim Dohyun pada minit ke-37, 38, 42 dan 46 untuk mengesahkan tiga mata penting.

Dalam perlawanan terakhir kumpulan, pasukan kendalian Jang Young-Seo akan menentang Sepanyol untuk mengintai peluang ke suku akhir .
APA KATA MEREKA
Jang Young Seo (ketua jurulatih Korea Selatan)
“Rentak permainan agak hambar sedikit pada babak pertama dan Kanada berjaya menghukum kesilapan kami untuk mendapatkan gol pertama mereka. Kami mengerti hanya kemenangan akan membuka peluang kami ke suku akhir.
Saya mengapikan semangat pemain semasa rehat dan minta mereka mengimbangi saingan dan mencari gol pertama. Mereka melakukan apa disuruh dengan baik dan memastikan tiga mata milik kami.
Kami akan menentang Sepanyol Sabtu ini . Lawan ini hebat dan mempunyai perbezaan jaringan lebih besar. Kami cuma akan fokus untuk menang saja dan lihat apa berlaku selepas pertemuan India dengan Kanada.
Matthew Geoffrey (ketua jurulatih Kanada)
“Satu ketika kami terbayang keputusan baik akan memihak kami apabila mendahlui 1-0 tetapi kemudian menyedari pemain saya hilang kawalan dan pertahanan makin hambar.
Ini satu pasukan muda dan jelas banyak melakukan kesilapan untuk membuka peluang jaringan kepada lawan.
Kami berdepan India Sabtu ini dan mahu memberi persembahan terbaik. India adalah pilihan tapi kami akan mencuba mencari sesuatu daripada perlawanan ini.”