Pasukan mana bakal dinobatkan juara TNB Piala Tun Abdul Razak 2025

Pertembungan dua kuasa Pantai Timur bakal mewarnai pentas final kategori lelaki TNB Piala Tun Abdul Razak 2025 apabila juara bertahan, Terengganu akan beradu kekuatan dengan Pahang, manakala saingan wanita menyaksikan Young Tigress menentang Selangor bagi merebut kejuaraan edisi ke-63 kejohanan berprestij itu.

 

Aksi final penuh debar itu akan berlangsung Sabtu ini (11 Oktober) di Padang 1, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, dengan saingan wanita membuka tirai pada pukul 4 petang diikuti final lelaki jam 6 petang.

 

Kedua-dua perlawanan dijangka berlangsung sengit kerana keempat-empat finalis tampil dengan rekod cemerlang sepanjang kejohanan.

 

Lebih menarik, pertembungan final bagi kedua-dua kategori menjanjikan aksi berkualiti tinggi memandangkan mereka belum pernah bertemu pada saingan TNB Piala Tun Abdul Razak 2025.

 

Dalam aksi separuh akhir hari ini, Terengganu yang dibimbing Mohd Harfizi Baharom tampil garang mempertahankan reputasi selaku juara bertahan apabila membenam Melaka 5-1.

 

Dua jaringan Faizal Saari (minit ke-10 dan 37) menjadi pemangkin kemenangan, disusuli sumbangan Darwisy Hamdan (m-30, m-52) dan Muhammad Adam Haiqal Abdul Razak (m-27).

 

Melaka hanya mampu menjaringkan gol sagu hati menerusi Muhammad Nur Asyraf Ishak pada minit ke-34.

 

Sementara itu, Pahang mengesahkan tiket ke final selepas menundukkan ATM 3-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

 

Kemenangan tersebut bukan sahaja memastikan kemaraan mereka ke pentas akhir, tetapi turut menghadirkan derbi Pantai Timur yang dijangka akan mencuri tumpuan di Bukit Jalil.

 

Dalam aksi penentuan tempat ke-5 dan ke-6, Perak menamatkan kempen dengan kemenangan 4-2 ke atas Kuala Lumpur.

 

Beralih ke kategori wanita, Young Tigress terpaksa bekerja keras sebelum menempah tempat ke final selepas diheret hingga ke penentuan penalti shoot-out oleh Pahang.

 

Perlawanan berkesudahan seri 2-2 sebelum skuad muda negara itu menoktahkan kemenangan 3-1 menerusi ketenangan pemain dalam penentuan penalti.

 

Dalam satu lagi separuh akhir, Selangor tampil bertenaga apabila membelasah Melaka 4-0, sekali gus mara ke pentas final dengan penuh bergaya.

 

Kejayaan itu menjadi pembakar semangat buat Selangor untuk menamatkan dominasi Young Tigress dalam kejohanan kali ini.

 

Sementara itu, Sabah pula menamatkan kempen wanita di tempat kelima selepas menundukkan Perak 2-1 dalam aksi penentuan tempat ke-5 dan ke-6.