Pasukan Wanita Catat Kemenangan Kedua

Pasukan Wanita Catat Kemenangan Kedua

Perlawanan kedua pusingan round robin, acara Hoki Padang Wanita, Temasya Sukan SEA 2023 Kemboja yang berlangsung hari ini di Stadium Nasional Morodok Techo, menyaksikan Pasukan Wanita Kebangsaan terus mengutip tiga mata selepas menewaskan Singapura, 4-1.

Ketua Jurulatih Skuad Wanita Kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim, menyifatkan pemain-pemainnya berjaya mengikuti semua taktikal dan perancangan yang telah diatur untuk pasukan dalam mencatatkan kemenangan kedua hari ini walaupun terdapat kelemahan dan kesilapan yang berlaku pada perlawanan tersebut.

“Perlawanan hari ini, berlaku beberapa kelemahan teknikal serta daya kesungguhan yang agak kurang di awal permainan. Bagaimanapun mereka berjaya mengatasi masalah tersebut dan ini merupakan pengajaran yang baik kepada ramai pemain-pemain muda negara.

“Kami mempunyai banyak kelebihan pukulan sudut penalti yang tidak diterjemakan kepada jaringan dan ini kerana kesilapan teknikal pemain serta beberapa percubaan berjaya diselamatkan penjaga gol lawan yang juga bermain dengan baik.

“Untuk pertemuan dengan Thailand esok, kami berharap bahawa pemain akan menggunakan masa yang ada untuk proses pemulihan tenaga sebelum turun bertemu Thailand. Kami akan tetap mencari kemenangan esok dan menuntut pemain-pemain untuk memberikan yang terbaik,” jelasnya.

Dalam perlawanan yang berlangsung hari ini, Nuramirah Shakirah Zulkifli mencetak dua gol peribadi bermula dengan gerakan padang pada minit ke-34 diikuti satu lagi gol gerakan padang yang juga gol kemenangan pada minit ke-49.

Dua lagi gol yang dijaringkan oleh pasukan Malaysia pada hari ini hasil jaringan pembukaan Wan Norfaiezah Md Saiuti menerusi gol padang pada minit kesembilan dan diikuti gol pukulan sudut penalti yang disempurnakan Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin pada minit ke-37.

Esok (Sabtu – 13 Mei) Pasukan Wanita Kebangsaan akan turun menentang Thailand jam 11:00 pagi, waktu Malaysia.