Perubahan Taktikal Kunci Kemenangan Young Tigers

Skuad Hoki Remaja Lelaki Kebangsaan menunjukkan reaksi balas yang cukup positif apabila berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas pasukan bawah 21 tahun (B21) Jepun di Gifu hari ini.

 

Ia juga adalah kemenangan pertama Young Tigers dalam siri Jelajah Jepun selepas membuka kempen dengan kekalahan 0-5 kepada skuad penuh senior mereka sebelum tewas 0-3 di tangan Jepun B21.

 

Ketua Jurulatih Skuad Remaja, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkongsi, beliau menukar taktikal permainan baharu yang mana ia membuahkan hasil menerusi dua gol daripada Safwan Salihe dan Shafiq Ammar Fahmi.

 

“Kita tewas 0-3 dengan remaja Jepun tetapi kita ada banyak peluang. 16 circle penetration, 8 PC (pukulan sudut penalti) tetapi tiada rezeki buat kita.

 

“Jadi hari ini kita keluar dengan taktikal baharu dan nampak seimbang hingga kita dapat jaringkan dua gol. Jepun juga ada banyak peluang sebab cara hoki moden mereka berbeza tetapi akhirnya kita menang,” katanya.

 

Bagaimanapun, Nor Saiful masih mahu melihat beberapa peningkatan terutama tiga aspek dalam baki dua perlawanan siri Jelajah Jepun pada Sabtu dan Ahad sebelum mereka pulang ke tanah air.

 

“Ada banyak tempat yang perlu diperbaiki seperti jaringan dan kawalan pemain. Permainan hoki moden baharu diterapkan Jepun sangat pantas, jadi kawalan pemain juga perlu cepat.

 

“Kalau kita terleka sekejap dan pihak lawan sudah berlari, susah untuk kita kejar semula. Jadi pemain terutamanya yang baru masuk perlu sentiasa bersedia, kalau tidak kita akan ketinggalan sebab permainan sangat laju,” jelasnya.

 

Jelajah Jepun dilihat sebagai salah satu persediaan buat Young Tigers sebelum menghadapi Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China dari 4 hingga 14 September 2026.