Selepas mengharungi dua perlawanan Piala Sultan Azlan Shah 2017 dengan satu keputusan seri dan satu kekalahan, pasukan hoki negara mahu memperbaiki kelemahan seterusnya kembali bangkit apabila turun berdepan Great Britain malam esok.
Bagi ketua jurulatih negara, Stephen van Huizen dia tetap gembira dengan komitmen anak buahnya yang sentiasa menunjukkan semangat juang tinggi sehingga wisel penamat selepas mengharungi dua perlawanan setakat ini biarpun keputusan tidak memihak mereka.
Stephen berkata, “Kita kalah kepada Australia 6-1 hari ini (semalam) memang satu perlawanan yang sungguh sukar, mereka pasukan nombor dua dunia. Memang momentum kita menurun tetapi masalah utama dalam perlawanan menentang Australia adalah pasukan itu berjaya menjaringkan dua gol ketika dua pemain kita menerima kad.
“Selepas itu, ianya sukar untuk pemain kita bangkit dalam perlawanan tersebut tetapi mereka sudah berusaha gigih malam tadi (semalam). Kita kena perbaiki semula pasukan menjelang pertemuan dengan pasukan Great Britain selepas ini,” kata Stephen ketika ditemui selepas perlawanan menentang Australia.
Jurulatih itu turut mengharapkan anak buahnya terus optimis meskipun sedar mereka bakal berhadapan cabaran sengit kerana bakal berhadapan dengan pasukan yang berada di ranking lebih tinggi dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah selepas ini.
“Kita akan terus berusaha dan jika boleh sudah pasti kami tidak mahu berakhir di kedudukan kedua terbawah dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah kali ini. Jika tidak berjaya ke final, kita akan cuba berada di kedudukan ketiga atau keempat.
“Setiap pemain telah berusaha gigih dalam setiap perlawanan, mereka sentiasa memberikan komitmen yang begitu tinggi. Jadi kita akan kaji balik apa kelemahan sebelum bertemu Great Britain. Kita akan mengkaji kelemahan dengan menonton semula video perlawanan nanti,” ujar Stephen.
Selepas seri 1-1 menentang Jepun dan kalah 1-6 kepada Australia, pasukan Malaysia masih mempunyai baki tiga perlawanan bertemu Great Britain pada Selasa ini, menentang New Zealand pada hari Rabu sebelum perlawanan terakhir dengan India pada hari Jumaat.
Tahun lalu dalam saingan sama, Malaysia menamatkan cabaran dengan menghuni tangga keempat.









