Berhadapan dengan skuad New Zealand yang berada di tangga ke-8 dunia pada aksi keempat saingan Piala Sultan Azlan Shah 2017 hari ini nyata sekali lagi bukan kerja mudah buat pemain hoki negara.
Hakikat itu diakui ketua jurulatih hoki negara, Stephen van Huizen yang menjangkakan saingan pastinya berbeza berbanding ketika menang besar ke atas pasukan Black Sticks ketika perlawanan ujian minggu lalu.
Stephen berkata, “Semua cakap pasukan New Zealand adalah terdiri daripada pemain muda tetapi ia adalah situasi sama seperti kami. Mereka adalah pasukan negara dan sudah tentu pemain muda yang diberikan peluang oleh pasukan New Zealand akan memberikan aksi terbaik untuk kekal dalam skuad.
“Permainan mereka juga sudah meningkat selepas tewas besar kepada skuad kami dalam perlawanan ujian lalu. Jadi saya jangkakan satu lagi perlawanan sengit esok,” kata Stephen ketika sidang akhbar selepas perlawanan menentang Great Britain semalam.
Mengulas mengenai pasukan kebangsaan yang tewas kepada Great Britain 0-1 semalam, Stephen tetap positif kerana ianya memberikan pendedahan sebelum barisan negara berangkat ke London untuk saingan Liga Hoki Dunia Pusingan Ketiga, Jun nanti.
“Ia adalah satu perlawanan penting kepada kami untuk melihat bagaimana mereka (Great Britain) bermain kerana mereka juga adalah satu kumpulan dengan kita di London nanti untuk Liga Hoki Dunia Pusingan Ketiga.
“Pemain saya telah berusaha dan telah memberikan yang terbaik, tetapi pengadil memberikan kad kuning pada lima minit terakhir ketika pemain saya berjuang berhabis-habisan untuk mendapatkan gol penyamaan,” ujar Stephen.
Jurulatih itu juga tidak mahu pemain negara terlalu memikirkan kekalahan kepada Great Britain sebaliknya mahu pemainnya kekal fokus untuk mengharungi baki saingan.
Dia berkata, “Kita kena menerima kekalahan kepada Great Britain hari ini (semalam) dan perlu mengumpulkan tenaga semula untuk menentang New Zealand esok (hari ini).
“Kita akan cuba lagi dari satu perlawanan ke satu perlawanan, ianya sudah tentu bagus kalau kami dapat mengakhiri saingan di kedudukan kelompok empat terbaik, apapun kami akan gunakan sepenuhnya perlawanan esok (hari ini) dan seterusnya perlawanan menentang India sebagai perlawanan praktis buat pemain,” tambahnya.









