Biarpun beraksi cemerlang, pasukan hoki negara terpaksa berpuas hati apabila sekadar berkongsi satu mata dengan Jepun selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 dalam aksi sulung mereka di saingan Piala Sultan Azlan Shah 2017 sebentar tadi.
Berlangsung di Stadium Hoki Azlan Shah, pasukan negara yang turun dengan misi memburu kemenangan pertama menyerang daripada awal permainan untuk memburu gol namun Jepun tidak memberikan ruang mudah apabila turut melancarkan beberapa percubaan berbahaya ke arah kubu pasukan Malaysia.
bagaimanapun pada minit ke-7, serangan balas pasukan Malaysia menyebabkan bola terkena kaki pertahanan Jepun. Insiden itu menyebabkan pengadil tidak teragak-agak untuk menghadiahkan pukulan sudut penalti pertama kepada Malaysian Tigers. Razie Rahim menyempurnakan peluang itu dengan menolak kencang untuk gol pertama pasukan negara.
Pemain penyerang pasukan negara, Haziq Samsul hampir menambah jaringan kedua pada minit ke-22 apabila membuat satu pukulan deras namun sedikit tersasar ke sebelah kanan gawang gol pasukan Jepun. Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan Malaysia 1-0 Jepun.
Malaysia terus menggandakan asakan di separuh masa kedua. Pada minit ke-36 pasukan kebangsaan sekali lagi dihadiahkan pukulan sudut penalti namun peluang itu gagal diterjemahkan ke dalam bentuk jaringan.
Jepun yang sekali sekala menyerang berjaya memperoleh gol penyamaan apabila Shota Yamada berjaya menolak masuk pukulan sudut penalti pada minit ke-39 untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Pasukan negara hampir kembali berada di depan apabila dihadiahkan dua pukulan sudut penalti pada minit ke-40 serta dua kali peluang terbuka Faizal Saari pada minit ke-42 namun gagal menggegar jaring Jepun.
Berbaki sepuluh minit permainan, kedua-dua pasukan semakin rancak menyerang mencari gol kemenangan namun buntu untuk menemui sentuhan jaringan sekaligus kedudukan seri 1-1 itu kekal sehingga tamat permainan.
Sebelum itu, pada perlawanan pada sebelah petang tadi, India dan Great Britain terikat dengan keputusan seri 2-2. Dalam satu lagi perlawanan, Australia yang merupakan juara bertahan juga seri 1-1 menentang New Zealand.









