Gol tunggal Great Britain yang dihasilkan menerusi pukulan penalti stroke sudah cukup untuk sekali lagi menghalang hasrat Malaysia daripada mengecapi kemenangan sulung dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah yang berlangsung di Stadium Hoki Azlan Shah sebentar tadi.
Pada minit ke-7 Great Britain terlebih dahulu berpeluang untuk mendapatkan gol pertama apabila mendapat pukulan sudut penalti namun mereka gagal menyempurnakannya. 5 minit kemudian, Great Britain nyaris memperoleh gol sulung juga menerusi pukulan sudut penalti tetapi mujur diselamatkan di atas garisan oleh pemain pertahanan negara.
Seminit selepas itu, giliran Malaysia pula dihadiahkan pukulan sudut penalti tetapi pukulan kencang Razie Rahim berjaya dinafikan penjaga gawang Great Britain, Harry Gibson.
Malaysia sekali lagi mendapat peluang terbaik apabila mendapat pukulan sudut penalti kedua pada minit ke-23 selepas gerakan solo Razie Rahim dihalang pertahanan Great Britain. Walau bagaimanapun, pukulan sudut penalti yang diambil tinggi melewati palang gol.
Great Britain akhirnya berada di depan setelah pengadil menghadiahkan penalti stroke kepada pasukan itu pada minit ke-26. Alan Forsyth mudah menolak bola masuk sekaligus meletakkan Great Britain di depan dengan jaringan 1-0.
Kedudukan Great Britain mendahului 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama biarpun pasukan Malaysian Tigers hampir-hampir memperoleh gol penyamaan hasil satu serangan balas seminit sebelum itu.
Pada babak kedua, Great Britain mendapat pukulan sudut penalti ketujuh pada minit ke-40 tetapi mereka gagal untuk menambah jaringan. Serangan balas pantas Malaysia sejurus selepas itu juga berjaya diselamatkan penjaga gol Great Britain.
Usaha pasukan negara untuk memburu gol di suku keempat melalui serangan bertali arus tetap tidak menemui penyudah dan kedudukan 1-0 itu kekal memihak Great Britain sehingga tamat permainan.
Dua lagi perlawanan yang berlangsung di sebelah petang menyaksikan Australia berjaya mengutip kemenangan kedua dengan menewaskan India 3-1. Sementara New Zealand pula mengutip kemenangan pertama selepas menang tipis 3-2 ke atas Jepun.









