Piala Sultan Johor 2017: Malaysia Tewas Kepada India

Pasukan hoki remaja kebangsaan terpaksa akur menerima kekalahan kedua selepas kecundang 1-2 kepada India dalam saingan Piala Sultan Johor 2017 di Stadium Hoki Taman Daya, semalam.

Biarpun bermula dengan baik apabila dan memperoleh gol pendahuluan seawal minit ke-3 melalui pukulan sudut penalti Firdaus Omar, skuad kendalian Wallace Tan terpaksa akur apabila India bangkit memperoleh dua gol selepas itu.

Gol pertama yang juga gol penyamaan pasukan India terhasil daripada gol padang Dilpreet Singh pada minit ke- 19. Pemain itu sekali lagi meledak pada minit ke-44 juga menerusi gol padang selepas dia mudah menolak masuk ke gawang yang terbuka sekaligus mengesahkan kemenangan India.

Ketua jurulatih pasukan remaja kebangsaan, Wallace Tan berharap anak buahnya dapat meningkatkan lagi rentak permainan mereka dan bangkit pada baki saingan.

“Kedua-dua perlawanan yang kita telah lalui adalah begitu sengit. Mereka mampu menang atau sebaliknya. Apapun, ianya adalah satu pengalaman dan pendedahan yang berguna untuk pemain yang menunjukkan peningkatan dalam permainan.

“Saya harap yang pemain akan terus meningkat daripada satu perlawanan ke satu perlawanan. Selain itu, saya juga tentulah mengharapkan kita dapat mencapai keputusan yang positif selepas ini,” kata Wallace Tan.

Selepas tamat perlawanan kedua saingan itu semalam, Australia unggul di tangga teratas dengan dua kemenangan diikuti pasukan Great Britain di tangga kedua dan India di tempat ketiga ketika ini.

Pasukan negara masih mempunyai baki tiga perlawanan untuk bangkit sebelum memasuki pusingan penentuan yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini.

Jadual perlawanan pasukan Malaysia:

Malaysia lwn Jepun, 8.35pm (Rabu, 25 Oktober)
Malaysia lwn Amerika Syarikat, 6.05pm (Khamis, 26 Oktober)
Australia lwn Malaysia, 6.05pm (Sabtu, 28 Oktober)