Piala TNB: TNB Dan THT Janji Aksi Sengit Untuk Peminat Hoki Negara

Piala TNB: TNB Dan THT Janji Aksi Sengit Untuk Peminat Hoki Negara

Piala TNB 2024 sekali lagi buat tahun ketiga berturut-turut menemukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Terengganu Hockey Team (THT) di pentas final yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, esok.

Kedua-dua pasukan memiliki kekuatan tersendiri dan dibarisi pemain-pemain kebangsaan sekali gus bakal menyajikan pertarungan sengit untuk disaksikan peminat-peminat hoki tempatan.

Edisi kejuaraan 2023 menyaksikan kejuaraan menjadi milik THT yang melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas TNB namun kali ini kedua-dua pasukan kembali berentap di pentas sama untuk memburu gelaran juara.

Bagi jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata kedua-dua pasukan memiliki peluang untuk bergelar juara kerana dibarisi pemain-pemain kebangsaan.

Jelasnya, apa yang bakal menjadi pemisah antara TNB dan THT untuk bergelar juara atau naib juara adalah kesilapan dalam perlawanan akhir tersebut.

“Ini perlawanan final ketiga untuk kedua-dua pasukan. Pasukan TNB secara keseluruhan terdiri daripada pemain negara sama ada junior atau senior, begitu juga dengan pasukan THT.

“Jadi untuk saya, ia bukan perlawanan yang mudah kerana mereka sudah tahu antara satu sama lain mungkin ada sedikit kesilapan dalam perlawanan itu yang boleh memisahkan antara juara dan naib juara dan saya rasa itu yang akan terjadi esok,” katanya dalam sidang media menjelang Final Piala TNB 2024.

Untuk rekod, pasukan TNB tahun ini telah merekodkan 124 gol bermula daripada perlawanan pertama TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2024 hingga separuh akhir kedua Piala TNB semalam.

Tonggak TNB, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal muncul penyumbang terbanyak gol buat TNB dengan meledak 31 gol daripada jumlah keseluruhan dicetak juara liga TNB MHL 2024.

“Saya sudah cakap kepada pemain saya kebanyakkan barisan serangan yang saya letak didepan, mereka memang sudah biasa bermain untuk negara dan antara benda utama mereka kena buat apabila ada peluang perlu menjaringkan gol.

“Saya rasa Azrai, bermula tahun lepas dia menjaringkan 40 gol dan dia antara pemain yang selepas Faizal Saari (pemain terbaik sebelum ini). Saya nampak dia ke arah itu dan merupakan mesin gol untuk pasukan,” jelasnya.

Sementara itu juara bertahan THT bersedia mempertahankan kejuaraan Piala TNB yang dimenangi musim lalu.

“Bagi saya TNB pasukan pilihan untuk kejuaraan ini (aksi final esok), tapi kita akan cuba mempertahankan dan turun sebagai underdog.

“Tapi ini adalah perlawanan final, sudah tentu kami akan berjuang habis-habisan dan menampilkan prestasi terbaik.

“Kelebihan kami ada adalah kerap bermain bersama dan itu kunci utama, kami juga miliki pemain berpengalaman yang selalu bermain di pentas separuh akhir dan akhir,” kata Kapten THT, Fitri Saari.

Terdahulu, THT yang dibimbing Mohd Harfizi Baharom mengesahkan tempat ke final menerusi agregat 6-1 selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Maybank pada aksi separuh akhir kedua, malam tadi.

TNB pula yang mendapat sentuhan bekas pemain kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin selaku jurulatih mara ke final dengan menewaskan UITM HA-KPT menerusi agregat 8-2 selepas melakar kemenangan 5-1 dalam aksi separuh akhir kedua.